suria

Betul ke probiotik bantu individu obes turun berat? Ketahui dahulu peranannya untuk usus

Tiada bukti jelas yang menyatakan probiotik membantu menurunkan berat badan.

PROBIOTIK sering dikaitkan dengan penjagaan usus dan perut sehingga ramai yang beranggapan bahawa ia dapat membantu masalah obesiti.

Tidak dinafikan, kandungan bakteria pada usus individu obes berbeza dengan orang yang normal.

Bagaimanapun, sehingga hari ini masih tiada jawapan yang jelas sama ada perbezaan populasi bakteria itu mendorong masalah obesiti ataupun tidak.

Bagaimanapun, pengambilan probiotik sebagai suplemen tidak mungkin menyebabkan kemudaratan atau membantu melawan obesiti.

Jika anda mengalami masalah obesiti, perlu diketahui bahawa penambahan berat badan pada asasnya adalah fungsi ketidakseimbangan tenaga kerana ia menandakan lebih banyak kalori diserap berbanding pembakaran metabolisme.

Untuk pengetahuan anda, saluran penghadaman atau usus mengandungi trilion bakteria dan kebanyakannya adalah baik, termasuk memetabolismekan nutrien daripada makanan.

Disebabkan itu, terdapat kajian tentang bagaimana ketidakseimbangan antara bakteria usus baik dan buruk boleh menyumbang kepada gangguan perubatan tertentu.

Walaupun lebih banyak penyelidikan diperlukan, terdapat beberapa bukti bahawa probiotik meningkatkan kesihatan usus.

Satu-satunya kajian yang menunjukkan hasil meyakinkan tentang komposisi bakteria usus mempengaruhi berat badan telah dilakukan menggunakan tikus bebas kuman.

Pun begitu, pada manusia berlaku sebaliknya, data tidak jelas apabila ia berkaitan dengan peranan probiotik dalam membantu penurunan berat badan.

Apa yang jelas ialah faktor terpenting yang menentukan susunan mikrobiom usus ialah diet.

Tetapi, sekali lagi, itu menimbulkan persoalan yang mana dahulu seperti adakah obesiti membawa kepada jenis mikrobiom tertentu atau adakah jenis mikrobiom tertentu membawa kepada obesiti?

Apa yang diketahui ialah anda boleh mengambil langkah untuk mengekalkan mikrobiom usus yang lebih sihat, dan langkah ini juga harus membantu dalam perjalanan penurunan berat badan anda.

Sebagai contoh, pengambilan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran dalam hidangan seharian dapat membantu bakteria baik dalam usus anda berkembang.

Ia juga boleh memberi manfaat dalam mengenyangkan anda dan mengehadkan pengambilan makanan ringan dan kalori lain yang tidak diperlukan.

Selain itu, mengehadkan lemak, gula dan sumber protein haiwan boleh membantu mengekalkan mikrobiom usus yang lebih sihat kerana penyelidikan menunjukkan bahawa diet yang tinggi dalam makanan tersebut berkait rapat dengan bakteria yang lebih tidak baik di dalam usus.

Mengambil suplemen probiotik boleh meningkatkan kesihatan mikrobiom usus anda, tetapi tidak jelas jika ia membantu penurunan berat badan.

Cara yang paling diyakini untuk menurunkan berat badan adalah dengan makan diet yang sihat dan bersenam dengan kerap, jadi anda membakar lebih banyak kalori daripada yang anda makan. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

probiotik, usus, masalah obes, kesihatan, famili,

Artikel Lain