suria

Jangan malu-malu borak tentang payudara sihat, 3 wanita kongsi kisah inspirasi lawan kanser

Pejuang penyakit kanser ini mahu beri semangat kepada wanita lain.

SEMANGAT juang pesakit kanser payudara wajar menjadi inspirasi buat rakyat negara ini.

Biarpun diuji hebat dengan penyakit yang berisiko membawa kematian, mereka tetap cekal meneruskan kehidupan demi diri sendiri dan insan tersayang.

Tidak terkecuali tentunya tiga pejuang kanser payudara yang bersama Avon Malaysia sempena kempen #NormalForMe secara global sepanjang bulan Oktober sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara.

Mereka yang terlibat ialah Saliza Khalid, Hiba Abdul Rahman dan Navi Indran Pillai yang akan berkongsi kisah inspirasi mereka untuk membantu ramai wanita supaya lebih prihatin terhadap kesihatan payudara.

b

Bagi wanita bernama Saliza Khalid, dia cuba untuk kekal positif walaupun berdepan dengan kanser.

Menurut pekerja eksekutif produk Avon itu, dia diuji dengan penyakit berkenaan selepas 11 tahun bekerja dengan syarikat tersebut.

“Saya mengetuai banyak kempen kesedaran kanser payudara semasa bekerja di Avon.

"Walaupun diuji dengan penyakit ini, saya pasti mempunyai peluang untuk sihat dan hidup seperti orang lain.

c

"Avon sentiasa bersama saya, dan sokongan padu daripada mereka memberikan semangat untuk mengalahkan kanser dan berusaha menikmati setiap hari yang diberikan bersama keluarga," ujarnya.

Sementara itu menurut Hiba Abdul Rahman, dia merupakan salah seorang penghidap kanser payudara sejak usia 25 tahun.

Berkongsi cerita, Hiba berkata dia pernah melakukan pelbagai rawatan termasuk pembedahan, kemoterapi, dan terapi yang disasarkan.

Seperti wanita lain, Hiba mengimpikan untuk menyusukan anaknya apabila tiba masanya.

Hiba berkata, dia akan sentiasa memikirkan secara mendalam setiap rawatan yang akan dia lakukan supaya tidak menjejaskan penampilan dan kehidupannya.

"Saya tak nak kanser ini menghilangkan kehidupan saya seperti orang lain.

a

“Saya sangat berterima kasih kepada sistem sokongan terbesar, iaitu keluarga dan rakan-rakan, mereka membuatkan saya berasa seperti saya tidak keseorangan dalam perjalanan ini," katanya.

Selain itu seorang lagi pejuang kanser ialah Navi Indran Pillai yang menghidap kanser payudara tahap ketiga.

Menurut wanita berumur 32 tahun ini, apabila disahkan menghidap penyakit ini banyak perkara yang berubah dalam hidupnya.

Pada mulanya, Navi takut dengan stigma yang pernah dilihatnya dalam filem tentang kematian yang disebabkan penyakit ini.

Walau bagaimanapun, ia tidak menghalangnya daripada memulakan rawatan. Dia menjalani lumpektomi, dan kursus kemoterapi.

ARTIKEL BERKAITAN: “Disahkan menghidap kanser bukan hukuman Tuhan, tapi anugerah untuk lebih hargai kehidupan” - Luahan bekas pesakit kanser

ARTIKEL BERKAITAN: Hidap kanser, wanita ini tak nak layan perasaan cuma ‘semak’ kepala berdepan soalan orang tak sensitif - “Dah nak kena, tak boleh buat apa... terima sajalah, kita kena terima!”

Bercerita lanjut, situasi paling sukar sepanjang perjalanannya melawan kanser ialah apabila dia berdepan masalah rambut gugur, tetapi dia tidak mengalah malah terus berusaha.

“Saya rasa perjalanan ini telah menjadikan saya seorang yang gembira dan penuh keyakinan.

"Saya bersyukur untuk kehidupan ini kerana dapat mengajar dan mendidik orang ramai tentang kehidupan,"ujar Navi yang disahkan menghidap kanser pada usia 22 tahun.

Kesihatan payudara.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Avon, Angela Cretu berkata, pihaknya berharap orang ramai sentiasa peka tentang bahaya kanser dan pentingnya pengesanan awal.

“Kami mahu menormalisasikan perbualan tentang kesihatan payudara dan membantu orang ramai supaya tahu akan tanda-tanda awal kanser payudara dan langkah penjagaan yang boleh diambil.

Kempen #NormalForMe bersempena Bulan Kesedaran Kanser

"Kami menyeru wanita dan lelaki di luar sana untuk berkongsi tiga perkataan yang menggambarkan payudara mereka di Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok untuk membantu meningkatkan kesedaran dan mengingatkan orang ramai akan pentingnya pemeriksaan kendiri," katanya.

Selain itu, sempena kempen #NormalForMe, Avon Malaysia akan mengadakan kempen pengumpulan dana yang menampilkan pilihan produk terlaris Avon termasuk wangian, pakaian intim dan produk penjagaan kulit daripada 1 hingga 31 Oktober 2022.

Untuk rekod, usaha murni Kanser Payudara Avon Malaysia bermula pada tahun 1994 melalui pelancaran Kempen Kesan Barah Awal (KEBAL), yang kemudiannya dilancarkan semula sebagai Kiss Goodbye to Breast Cancer (KGBC) pada 2002 oleh Menteri Kesihatan Malaysia ketika itu.

Dalam tempoh 28 tahun, kempen itu telah menyumbang lebih RM2 juta kepada hospital, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak yang berkaitan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain