PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) tampil menyerahkan bantuan kepada waris Allahyarhamah Nurul Azwani Kamarulzaman, salah seorang mangsa tanah runtuh yang maut di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm di Batang, Kali, Selangor, Jumaat lalu. Bantuan berupa Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan bayaran berkala Pencen Penakat itu diserahkan oleh Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar kepada ibu Allahyarhamah, iaitu Siti Esah Hassan, 53, di kediamannya di Lorong Haji Abdullah, Kuala Lumpur. Menurut Sivakumar, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kantin di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Mun Choong, merupakan pencarum Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4). ARTIKEL BERKAITAN: “Kadang-kadang fikir arwah jauh sebab bertugas” - Balu, anak jurulatih penerbangan lega Perkeso tampil permudah urusan bantuan "Ini melayakkan ibu beliau, Puan Siti Esah selaku waris menerima FPM sebanyak RM2,000 dan bayaran berkala Pencen Penakat berjumlah kira-kira RM238 sebulan. "Saya difahamkan bahawa Allahyarhamah merupakan anak sulung daripada tiga beradik. Beliau yang masih bujang, bertanggungjawab menjaga ibunya. Bayaran Pencen Penakat ini dibayar seumur hidup," katanya dalam sidang media selepas menyerahkan bantuan. Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, A. Maniam dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed. Sidang media penyerahan faedah Perkeso kepada waris Allahyarhamah Nurul Azwani. Dalam kejadian pada Jumaat lalu, tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Batang Kali - Gohtong Jaya dilanda insiden tanah runtuh, mengakibatkan hampir 100 mangsa terperangkap. Insiden malang itu mengorbankan nyawa Nurul Azwani, 31, yang mengikuti rombongan perkhemahan kerana menemani dua anak majikannya yang juga guru di sekolah tersebut. Seramai 24 individu lain turut terkorban termasuk sembilan kanak-kanak, setakat ini. Dalam pada itu, Sivakumar berkata, penyerahan faedah kepada lima waris mangsa lain akan disempurnakan dalam masa terdekat. Beliau berkata, Perkeso sedang menyemak jumlah bayaran Pencen Penakat untuk waris setiap mangsa. "Bagi tiga mangsa yang identiti masih belum dikenal pasti oleh pihak berkuasa, Perkeso akan meneliti bentuk faedah yang layak diterima selepas mereka diisytiharkan meninggal dunia oleh Mahkamah Tinggi, selaras dengan peruntukan undang-undang berkaitan orang hilang," katanya. Sementara itu, Siti Esah yang ditemui media menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih di atas keprihatinan Perkeso yang pantas tampil menghulurkan bantuan kepada keluarganya. Dalam nada terharu, ibu kepada tiga anak itu berkata, bantuan yang dihulurkan sangat bermakna dan akan digunakan sebaiknya bagi kelangsungan hidup. Sivakumar menyantuni ibu Allahyarhamah Nurul Azwani di kediamannya. "Saya bersyukur sangat kerana banyak bantuan diterima, tak putus-putus. Mungkin inilah yang ditinggalkan untuk membantu saya," ujarnya. Masih terkejut dengan pemergian anak sulungnya, Siti Esah berkata Allahyarhamah langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan atau tingkah laku sebelum pemergiannya. "Dia seorang yang periang, rapat dengan adik beradik, suka tersenyum, suka bergurau dan suka bermain dengan kanak-kanak. "Saya rasa macam kosong sebab dia memang tinggal dengan saya, manakala dua adiknya tinggal berasingan. Sekarang selepas dia 'tiada', saya panggil anak bongsu untuk temankan saya di sini. Sebab masih teringat. "Sampai sekarang saya tak boleh tengok berita ataupun tempat itu... luluh hati saya. Terlalu banyak kenangan manis dengannya... hanya Al-Fatihah dan doa saja untuk ubati kerinduan kepadanya," ujarnya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI