PEMERGIAN suami buat selama-lamanya ketika sedang bekerja di kebun awal bulan ini sememangnya hakikat yang terlalu berat untuk diterima oleh wanita ini. Apatah lagi, si suami pergi buat selama-lamanya dengan meninggalkan tiga cahaya mata yang sedang meningkat remaja. Namun Salina Mat Ali, 48, bersyukur bercampur terharu apabila nasib keluarganya mendapat perhatian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Ini kerana arwah suaminya, Allahyarham Ramlidin Ahkemat, 50, merupakan pencarum Perkeso menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789). ARTIKEL BERKAITAN: Waris Nurul Azwani terima faedah Perkeso, Pencen Penakat seumur hidup... “Mungkin inilah yang ditinggalkan untuk membantu saya” "Alhamdulillah, saya bersyukur apabila nasib keluarga mendapat perhatian pihak Perkeso. Saya mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Perkeso. "Bantuan yang diterima ini secara tidak langsung dapat meringankan beban apabila separuh pendapatan keluarga sudah tiada. "Saya akan menggunakannya untuk pendidikan anak-anak, memandangkan ketiga-tiga anak kami masih bersekolah," ujarnya ketika ditemui mStar selepas majlis penyerahan faedah Perkeso di kediamannya di Kota Warisan, Sepang. Faedah Perkeso diserahkan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Marin kepada Salina di kediamannya. Salina dan tiga anaknya, masing-masing berusia 14 tahun, 12 tahun dan 10 tahun menerima bantuan berupa Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang berjumlah RM1,395 sebulan. Bayaran FPM dibayar sekali (one-off) manakala bayaran FOT adalah setiap bulan, bermula 1 Januari 2023. Salina akan menerima bayaran FOT seumur hidup sementara anak-anaknya layak menerima sehingga mereka mencapai usia 21 tahun (jika belum berkahwin) atau sehingga tamat pengajian Ijazah Pertama. Bantuan diserahkan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Marin yang diiringi Ahli Majlis Perbandaran Sepang, Chendren Balakrishnan di kediamannya pada Khamis. Turut hadir, Pegawai Jabatan Pertanian Putrajaya, Hayusri Faizal Idris; Pengarah Perkeso Selangor, Ismail Abi Hashim dan Pengurus Perkeso Putrajaya, Thavamani Ramalingam. Allahyarham Ramlidin maut akibat sengatan tebuan semasa melakukan kerja harian di kebunnya pada 9 Disember lalu. Seminggu sebelum ditimpa insiden malang itu, Allahyarham mencarum dengan SKSPS di bawah SPS Tani, satu inisiatif Program SPS Padanan Caruman. John Riba Marin (kiri) memberi penerangan mengenai faedah Perkeso kepada waris. Menurut Salina yang bekerja sebagai pembantu tadbir di Jabatan Perkhidmatan Verterinar Putrajaya, dia sendiri tidak mengetahui arwah suaminya mencarum menerusi skim berkenaan, namun bersyukur kerana Allahyarham membuat persediaan untuk melindungi keluarga sekiranya sesuatu tidak diiingi berlaku. "Pihak Jabatan Pertanian yang memaklumkan kepada saya bahawa arwah mencarum, dan maklumkan ada wakil Perkeso akan datang. Syukur sangat. "Bayangkan, pemergian arwah begitu mengejut. Dua jam sebelum meninggal dunia, arwah sempat menghubungi saya untuk memaklumkan anak kedua kami pulang dari sekolah dengan rakan, sebab arwah bimbang saya tercari-cari. "Arwah ketika itu masih di kebun. Dua jam kemudian, selepas saya solat Asar, saya terima panggilan mengatakan suami meninggal dunia. Rasa macam tak percaya sebab baru dengar suaranya," ujar Salina sambil menyifatkan arwah suaminya merupakan seorang ketua keluarga yang sangat bertanggungjawab. Dalam masa sama, Salina turut menyarankan mana-mana individu yang bekerja sendiri agar membuat caruman dengan Perkeso sebagai persediaan awal agar dapat membantu kelangsungan hidup waris yang ditinggalkan. Sementara itu anak sulung Allahyarham, Muhammad Adam Rifqy, 14, berkata, pesanan yang ditinggalkan oleh arwah bapanya akan sentiasa diingati dan dijadikan azimat untuk meneruskan kehidupan bersama ibu dan dua adiknya. "Arwah berpesan supaya belajar rajin-rajin, pandai bahagikan masa antara hobi dan belajar serta jangan bergaduh adik-beradik. "Saya nak belajar bersungguh-sungguh supaya mendapat pekerjaan yang bagus dan seterusnya membantu menjaga mak dan adik-adik," ujarnya. Salina dan tiga anaknya bersyukur dan terharu kerana keluarga mereka mendapat perhatian Perkeso. Untuk makluman, kerajaan memperkenalkan inisiatif SPS Padanan Caruman dalam Bajet 2022 yang bertujuan untuk memperluaskan perlindungan keselamatan sosial bagi mereka yang bekerja sendiri dalam sektor informal yang disasarkan. Menerusi SPS Tani, petani atau pengusaha ladang dan tanaman hanya membayar 20 peratus daripada jumlah caruman Pelan 2 SKSPS iaitu RM46.60 untuk perlindungan setahun manakala kerajaan membiayai 80 peratus atau RM186.20. Manfaat FPM dan FOT di bawah SKSPS adalah faedah yang dibayar kepada orang tanggungan sekiranya pencarum yang bekerja sendiri meninggal dunia akibat bencana berkaitan pekerjaan sendiri. Sehingga 1 November 2022, sejumlah RM10.8 juta dibayar kepada 3,965 orang penerima faedah di bawah SKSPS. Bak kata pepatah, malang tidak berbau. Justeru, adalah disarankan untuk menyediakan payung sebelum hujan. Carumlah segera sebelum tarikh tutup SPS Padanan Caruman pada 31 Disember 2022 ini. Pendaftaran dan caruman boleh dibuat menerusi Portal Matrix Perkeso atau di mana-mana 54 pejabat Perkeso di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, layari www.perkeso.gov.my atau hubungi talian Careline Perkeso 1-300-22-8000. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI