suria

Suka makan sampai berat cecah 160kg! Lelaki ini insaf selepas 2 kali masuk hospital gara-gara diabetes

Vicky Rao mengubah tabiat pemakanan dan gaya hidup selepas menghidap diabetes.

DUA dekad lalu, lelaki ini dimasukkan ke hospital kerana menghidap demam denggi.

Dia sendiri tidak menyangka bahawa detik tersebut bermula segala-galanya, di mana dia mendapat khabar yang merubah seluruh kehidupannya.

Menurut lelaki bernama Vicky Rao, berdasarkan hasil ujian darah yang dilakukan ketika itu, doktor mengesahkan dia menghidap diabetes jenis 2 (type-2).

"Perspektif saya berubah dalam sekelip mata, dan mula menyedari bahawa saya telah mengambil remeh mengenai kesihatan sepanjang hidup saya," ujar Vicky.

Sebelum mengetahui mengenai penyakit tersebut, Vicky begitu menikmati hidupnya dan mengambil apa jua makanan yang disukai.

"Saya seorang lelaki muda dan gembira dapat menikmati hidup saya semaksima mungkin. Saya makan apa sahaja yang saya mahu. Saya suka makanan segera dan minuman bergas. Saya mempunyai berat badan 160 kilogram.

vicky 2

Vicky ketika berat badannya sekitar 160kg (kiri) dan selepas mengalami penurunan berat badan (kanan).

"Perkara terakhir yang saya mahukan ialah menyekat nikmat terhadap makanan ringan yang memberikan keseronokan," kongsinya.

Namun sejak menjadi penghidap diabetes, Vicky akur dia perlu mengubah tabiat lamanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Cendawan Makkah banyak kelebihan, mampu rawat diabetes? Ini penjelasan pakar

"Doktor memaklumkan bahawa menguruskan diabetes adalah komitmen sepanjang hayat dan menasihati saya untuk lebih banyak bersenam sambil mengurangkan gula dan karbohidrat.

"Keputusan harian mengenai penyediaan makanan dan jumlah yang saya makan boleh memberi kesan ketara kepada tahap glukosa," katanya.

Namun, melakukan perubahan drastik kepada gaya hidup membuatkan dia tidak betah bertahan.

"Saya mula berasa letih, beransur-ansur kembali ke tabiat lama iaitu makan dan tidak aktif. Saya kecewa, tidak gembira dan mula berputus asa," ujarnya.

Pengajaran paling penting yang saya pelajari ialah diabetes boleh dirawat. Ia bukan hukuman mati.

VICKY RAO

Bertahun-tahun bergelumang kembali dengan tabiat lamanya yang tidak sihat, sekali lagi Vicky tersentak.

Semuanya selepas dia melakukan ujian HbA1c, iaitu untuk mengukur tahap glukosa.

Buat kali pertama dia melakukan ujian tersebut sejak sekian lama, Vicky terkesima apabila mendapati paras glukosanya berada pada 19.1 milimol seliter (mmol/L), iaitu paras tertinggi dan jauh melebihi julat normal di bawah 5.7 mmol/L.

"Titik perubahan sebenar berlaku enam tahun lalu apabila saya dimasukkan ke hospital kerana tahap glukosa saya terlalu tinggi.

"Ketika itu saya sedar usia sudah meningkat dan saya juga sudah berkahwin. Saya tahu saya perlu mengubah gaya hidup, atau mati.

"Saya mula mencari maklumat dalam talian untuk memahami tabiat yang perlu saya amalkan sepanjang hayat untuk menguruskan diabetes saya dengan lebih baik.

"Semakin saya belajar, semakin saya teruja. Teknologi berkembang sejak saya mula-mula didiagnosis, dan saya menemui pelbagai alat yang membantu untuk memantau tahap glukosa dan memahami perkara yang perlu saya lakukan untuk kekal sihat," cerita Vicky.

Vicky kini menjalani rejim pemantauan yang konsisten, merangkumi pemeriksaan tahap glukosa tujuh kali sehari, mengutamakan diet yang berkhasiat dan juga mengintegrasikan suplemen pemakanan diabetes Glucerna dalam pengambilan hariannya.

vicky 3

Bacaan glukosa terkini Vicky.

"Hasil daripada usaha ini, bacaan tahap glukosa saya bertambah baik, yang telah mendorong saya ke arah kesihatan yang lebih baik.

"Pada tahun 2021 saya menyertai Program Perubahan Gaya Hidup Glucerna (GLCP), program intervensi selama empat minggu yang merangkumi kaunseling pemakanan, pemakanan diabetes, senaman dan pemantauan glukosa berterusan.

"Sepanjang program, saya mengadakan perundingan mingguan secara maya dengan pakar diet yang memberikan sokongan dengan rancangan pemakanan berdasarkan keperluan diet, keutamaan dan matlamat kesihatan saya," cerita Vicky.

Lebih menggembirakan ujarnya, hasil daripada program berkenaan pantas dan menunjukkan keputusan positif.

"Selepas sebulan mengikuti program itu, saya hilang lima kilogram dan tahap glukosa saya stabil pada sekitar 6 mmol/L.

"Saya juga belajar cara merawat episod tahap glukosa rendah secara berkesan, yang dikenali sebagai hipoglisemia, yang merupakan salah satu cabaran terbesar.

"Program ini mengajar saya kepentingan tabiat gaya hidup sihat, mengawal saiz bahagian untuk setiap jenis makanan, mematuhi jadual makan, bersenam secara teratur dan mengambil formula khusus diabetes yang mengandungi nutrisi lengkap dan seimbang, seperti sebagai Glucerna.

"Tetapi pengajaran paling penting yang saya pelajari ialah diabetes boleh dirawat. Ia bukan hukuman mati.

"Saya berharap perkongsian pengalaman saya akan memberi inspirasi kepada penghidap diabetes untuk membuat perubahan gaya hidup yang positif," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain