VIDEO memaparkan jurulatih sebuah pasukan bola tampar yang melempang dua pemainnya mengundang pelbagai reaksi di media sosial. Selain kes tular itu, sebenarnya sudah acap kali media mendedahkan kisah kanak-kanak yang dikasari orang dewasa termasuklah kes dera hingga berjaya diheret ke muka pengadilan. Jika diimbas semula, pasti ada dalam kalangan kita yang pernah dihukum oleh ibu bapa seperti dirotan dengan paip getah, penyangkut baju, malah ada yang pernah ditampar sewaktu zaman kanak-kanak dahulu. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Pediatrics menunjukkan bahawa kanak-kanak yang dikenakan hukuman sedemikian berisiko mengalami masalah kesihatan mental apabila dewasa. Kajian itu mencadangkan bahawa walaupun tidak ada penganiayaan besar atau penderaan fizikal, hukuman ini secara psikologi boleh menjejaskan kanak-kanak pada masa dewasa. Ia turut mendapati bahawa dua hingga tujuh peratus masalah mental, termasuk kemurungan, bulimia, gangguan personaliti dan ketidakupayaan intelek, dikaitkan kepada hukuman sedemikian pada zaman kanak-kanak. "Penemuan ini konsisten dengan kajian lain mengenai kesan hukuman fizikal terhadap kanak-kanak," ujar Lynn Soh, Pengetua Psikologi Kanan di Perkhidmatan Sokongan Trauma Psikososial, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (KKH), Singapura. ARTIKEL BERKAITAN: Ambil peluang duduk di rumah... Ada 5 tip mendidik anak-anak berdikari ketika pandemik Tambahnya, tindakan kekerasan ke atas kanak-kanak juga membuatkan mereka terasa tidak disayangi dan tiada nilai diri, sekali gus membesar dengan masalah-masalah lain yang akan berlaku. "Mesej yang dihantar kepada kanak-kanak melalui hukuman dera adalah pencerobohan. Ia termasuk berulang kali memberitahu kanak-kanak bahawa dia tidak bernilai, tidak berguna, tidak disayangi atau tidak diingini, dan mengancam untuk menggunakan keganasan fizikal atau psikologi ke atasnya. "Mesej pencerobohan ini, lebih daripada hukuman fizikal sebenar, mempunyai kesan penting pada kesihatan psikologi kanak-kanak di kemudian hari," ujarnya. Kanak-kanak yang dikasari akan mengalami banyak masalah lain apabila mereka membesar kelak. Selain itu, seorang kanak-kanak mungkin belajar untuk takut akan hukuman, dan bukannya memahami mengapa dia harus mengikut peraturan, dan kemudian membesar dengan kurang keupayaan untuk menghalang dirinya daripada melakukan salah laku. Sesetengah kanak-kanak mungkin mentafsirkan pukulan sebagai tanda bahawa ibu bapa mereka tidak menyayangi mereka, dan ini boleh menyebabkan hubungan yang tegang dengan ibu bapa mereka. Kanak-kanak yang dihukum secara fizikal, tanpa diberitahu sebabnya, mungkin membesar tanpa keyakinan diri dan ini boleh menyukarkannya untuk menyesuaikan diri secara sosial di sekolah. Dalam senario terburuk, kanak-kanak mungkin terfikir untuk membunuh diri. Ibu bapa bertanggungjawab untuk menjaga keperluan material anak-anak mereka dan menjadi teladan yang memudahkan pertumbuhan fizikal, mental, emosi dan sosial anak-anak mereka yang sihat. Perlu diingat bahawa terdapat banyak cara tanpa kekerasan untuk mendisiplinkan atau menghukum kanak-kanak daripada bertindak kasar. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI