TAK puas nak bermanja, anak kesayangan pergi buat selama-lamanya. Begitulah nasib pilu sebilangan ibu bapa yang diuji hebat apabila bayi mereka meninggal dunia secara tiba-tiba ketika sedang tidur. Menurut Dr Ahmad Samhan, kes kematian pada bayi berumur bawah setahun secara mengejut tanpa tanda-tanda tertentu seperti penyakit atau sebab yang jelas disebut sebagai Sindrom Kematian Bayi Mengejut atau SIDS. Kajian di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan 95 peratus kes SIDS adalah melibatkan bayi berumur enam bulan dan ke bawah, 60 peratus daripadanya berlaku ketika bayi berusia antara dua hingga empat bulan. Menerusi perkongsian di Facebook, Dr Ahmad Samhan turut berkongsi 10 nasihat untuk mencegah berlakunya sindrom itu. 1. Elakkan tidur dalam posisi meniarap. Dalam posisi meniarap, kemungkinan untuk tertutup hidung dan mulut sangat tinggi. Bayi masih tidak kuat untuk menukar posisi andai kata lemas. 2. Elakkan tidur di atas tilam dan cadar lembut. Tilam dan cadar yang lembut akan membuatkan bayi tenggelam dari paras selamat dan berkemungkinan akan terbenam mukanya. Dr Ahmad Samhan berkongsi 10 nasihat itu menerusi Facebook. 3. Elakkan letak mainan lembut (soft toys) berdekatan bayi yang sedang tidur. Ini akan menyebabkan kemungkinan mainan lembut boleh menutup muka bayi ketika tidur. 4. Elakkan bayi daripada perokok. Kajian menunjukkan bayi yang terdedah dengan asap rokok dan sisa rokok berisiko tinggi untuk mati mengejut. 5. Elakkan memakai pakaian berlapis-lapis ketika tidur. Ini menyebabkan suhu badan bayi menjadi tinggi. Keadaan bayi yang terlalu panas boleh menambah risiko SIDS. 6. Elakkan bayi tidur dengan kanak-kanak lain. Kemungkinan kanak-kanak lain menghempap bayi tanpa sedar ketika tidur. 7. Menyusu badan anak dapat mengurangkan risiko SIDS 50 peratus. 8. Jika bayi mengalami masalah jangkitan salur pernafasan, segera dapatkan rawatan doktor. 9. Ibu bapa perlu beri lebih perhatian pada bayi yang pramatang kerana risiko SIDS sangat tinggi. 10. Kerap pantau bayi ketika tidur untuk memastikan bayi tak lemas dan masih bernafas. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI