KITA pasti pernah menemui pasangan suami isteri yang sudah melayari bahtera rumah tangga lebih 30 tahun. Bukan mudah untuk mencecah ke angka itu melainkan terdapat kasih sayang dan persefahaman di dalamnya. Hubungan yang telah lama terjalin akan membuatkan kita mula sedar atau perasan bahawa penampilan pasangan tidak sekacak atau secantik dahulu. Namun, bagi golongan suami, cantik atau tidak isteri mereka, wanita itu tetap menjadi permaisuri dalam rumah tangga yang dibina. Maka, sebagai ketua keluarga yang cakna dan mementingkan keluarga, sudah menjadi tanggungjawab baginya memastikan isteri sentiasa bahagia. Dalam erti kata lain, sekiranya isteri merajuk atau mogok, segeralah pujuk. Seorang isteri kepenatan menguruskan rumah tangga. -Gambar hiasan Bagi menghargai usaha isteri yang sudah berhempas pulas menguruskan hal rumah tangga, sesekali suami perlulah memahami keperluan mereka untuk bersendirian atau lebih dikenali sebagai 'me time'. Menerusi satu hantaran dibuat pakar pendidik dan penulis ilmu keibubapaan, Dr Taufiq Razif, dia menjelaskan bahawa ada masanya perkara yang kelihatan mudah dan ringkas mampu membuatkan isteri senyum sampai ke telinga. "Punya la bahagia isteri saya baru ni. "Baru ni kami kebetulan lalu sebelah kedai Eco. Tiba-tiba dia menonong je masuk ke kedai. Macam budak kecil yang laju je meluncur ke depan kalau mak ayah tak pimpin dia punya tangan. "Saya perhati je mimik muka dia bila masuk ke situ. Ceria lain macam! Padahal shopping dekat Eco je pun. Tapi dia punya suka tu lain macam," katanya. Kunci keharmonian keluarga terletak pada isteri yang bahagia. Foto: tirachardz Jelas Taufiq, tujuan isterinya masuk ke kedai serbaneka itu bukanlah untuk membeli belah sebaliknya dia mahukan 'break the routine' (berehat daripada rutin kebiasaan). Menurut Taufiq, rutin dimaksudkan termasuklah menguruskan hal anak, ampaian serta sinki (memasak dan mencuci) dan rumah. Menurut Taufiq, adakalanya rutin dilakukan ini membuatkan mereka berasa jemu. "Rasa macam mati akal nak buat apa padahal kerja berlambak lagi nak kena buat. "Tu tanda dia dah mula tepu (burn out) lah tu. Jadi caranya adalah bawa je isteri pergi shopping ke jalan jalan taman bunga ke pergi zoo ke pergi pantai ke. "Tak perlu bagi alasan benda tu semua menghabiskan duit. Ingat, jaga suasana hati isteri ni adalah tanggungjawab seorang suami juga. Tu yang ramai tak tahu," ujarnya lagi. Taufiq merupakan seorang Pendidik dan Penulis Ilmu Keibubapaan. Katanya lagi, apabila isteri semakin tenang dan bahagia dia makin mudah untuk bahagiakan suami dan anak-anaknya. "Percayalah, masa tu tak payah dah nak suruh itu suruh ini, mereka sendiri yang akan buat yang terbaik untuk pasangannya. "Ibu yang bahagia akan lebih hebat membahagiakan anak dan keluarganya," ujarnya lagi. Perkara yang dikongsikan ini wajarlah dijadikan panduan serta renungan bersama oleh para suami. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube