suria

Lama ‘bertapa’ di tandas sambil main telefon punca buasir? Lelaki ini kongsi pengalaman, bukan sebab makan pedas

Lelaki ini berkongsikan kisah bagaimana dia terkena buasir.

SEBUT sahaja perkataan buasir pasti ramai yang 'seram' memikirkan kesakitan yang perlu dilalui.

Bagi kes kritikal, pesakit perlu melakukan pembedahan bagi merawat penyakit ini.

Menurut portal MyHealth, buasir atau disebut hemorrhoid adalah penyakit yang boleh dihadapi mana-mana individu tanpa mengira umur.

Ia sering dikaitkan dengan tindakan meneran semasa membuang air besar dan keadaan sembelit.

Seorang pelayar di TikTok, Emir Taufiqq berkongsi kisah bagaimana dia terkena penyakit buasir dan perkongsiannya tular.

Buasir boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur.

Ternyata ramai yang berminat untuk mengetahui punca penyakit itu setelah dia memberitahu baru berjumpa doktor yang merawat buasirnya.

Dia menceritakan semula segala perbualannya bersama seorang doktor wanita menerusi video tersebut.

"Saya baru balik dari 'servis' bontot dengan doktor. Perkara pertama ditanya oleh doktor adalah berak main telefon atau tidak? Saya dulu memang tabiat berak sambil hisap rokok.

"Kalau dapat dua batang memang 'syahdu' kalau sekali berak dalam jamban. Jadi benda itu memang tak baguslah. Tapi kalau sekarang saya boleh habislah dua episod kalau tengok series dekat Netflix tu," ujarnya.

Untuk makluman, bermain telefon di tandas boleh memicu tekanan berlebihan pada pembuluh darah di bahagian dubur.

Selain itu, Emir menceritakan bahawa dia juga meneran (straining) semasa membuang air besar yang menjadi salah satu penyebab kepada buasir.

ARTIKEL BERKAITAN: Sajat buat ‘medical review’, ajar jangan meneran elak buasir... Ini ulasan doktor, siap cerita ada 7 jenis najis

Bukan itu sahaja, Emir turut bertanyakan kepada doktor berhubung keraguannya mengenai makanan pedas yang sering dikaitkan dengan penyakit ini.

"Saya meneran tu tak ada lah sampai macam nak keluar kepala budak (bayi) tu. Meneran tak digalakkan sangat. Jadi doktor suruh cari makanan yang fiber tinggi supaya lawas untuk buang air besar.

"Makan pedas ni saya tanya doktor tapi katanya mungkin ya dan juga mungkin tidak, sebab bila kita makan pedas kita akan jadi sembelit.

"Apatah lagi bila tak biasa makan pedas, dia makan extra pedas tiba-tiba akan jadi sembelit. Kita akan meneran lebih... tu yang sebabkan jadi buasir bukan sebab makanan pedas," katanya lagi.

Punca terakhir yang dikongsikan adalah tindakan mengangkat objek berat berulang kali yang boleh memberi tekanan kepada saluran darah di dubur dan menyebabkan buasir.

855722

Terlalu lama di dalam tandas boleh menyebabkan buasir.

"Kerja harian saya tak berat. Cuma ada masa-masa di mana ketika masuk hutan saya buat kerja berat.

"Sewaktu Raya Haji saya main (uruskan) lembu menggunakan kudrat lebih sikit daripada biasa," ujarnya.

Buasir juga boleh diklasifikasikan kepada dua jenis bergantung kepada kedudukannya iaitu buasir luaran atau buasir dalaman.

Kedua-dua jenis buasir ini mempunyai simptom dan masalah yang berbeza:

1. Buasir dalaman

Merupakan salur darah vena yang bengkak di lapisan dalam rektum. Pesakit akan mengadu terdapat pendarahan selepas membuang najis tanpa kesakitan.

Ada juga pesakit yang akan terasa seperti unjuran terkeluar dari dubur selepas membuang air besar.

Unjuran ini mungkin hilang sendiri atau ada juga yang perlu menolak balik unjuran ini ke dalam.

910234

Pendarahan ketika membuang air besar mungkin tanda anda terkena buasir.

2. Buasir luaran

Merupakan salur darah vena di bahagian bawah kulit luar dari dubur. Pesakit akan mengadu sakit, berdarah, gatal atau bengkak semasa membuang air besar.

Kesakitan yang dirasai seseorang itu mungkin berbeza. Ada orang mungkin berasa sedikit tidak selesa, tetapi ada juga berasa panas atau amat pedih.

Sakit yang teramat mungkin berlaku akibat salur darah tersumbat oleh darah beku.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain