suria

50 mualaf termasuk warga emas teruja berkhatan bersama! Bapa hadir nak teman anak pun akhirnya turut serta

Program berkhatan beramai-ramai untuk mualaf di Poliklinik MyMedik.

SEORANG bapa mualaf mengambil keputusan untuk berkhatan bersama dua anak lelakinya sebagai tanda sokongan.

Arsalam Abdullah, 35, berkata pada mulanya dia sekadar mahu menemani dua anaknya, namun terpanggil untuk turut serta kerana seumur hidupnya dia belum pernah berkhatan.

“Saya memeluk Islam pada 1 November 2021 dan tidak pernah berkhatan. Tambahan pula kadar bayaran berkhatan bagi orang dewasa agak membebankan.

Arsalam Abdullah bersama dua orang anaknya, Rayyan Arsalan dan Rashwan Arsalan.

"Bagaimanapun hari ini Pertubuhan Akademi Al Bayan bersama MyMedikal Healthcare dengan mulia hati membantu golongan mualaf yang susah seperti kami.

“Jadi saya rebut peluang bawa anak-anak dan akhirnya terpanggil untuk berbuat perkara sama apatah lagi ia adalah sunnah yang sangat dituntut dalam Islam,” katanya.

Seorang warga emas mualaf, Osman atau nama asalnya Yeah Kim Huat, 72, pula mengakui berasa berdebar sewaktu prosedur berkhatan dilaksanakan tetapi berasa lega apabila semuanya telah selamat.

“Alhamdulillah Allah permudahkan dan hari ini saya sudah melaksanakan satu lagi tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

"Berdebar ada, takut pun ada kerana kita sedia maklum berkhatan ini agak menyakitkan bagi seorang lelaki,” katanya.

Program berkhatan beramai-ramai di Poliklinik MyMedik.

Sementara itu, Ahmad Andrew Muling, 47, turut meluahkan kesyukuran dan keterujaan kerana diizinkan Allah untuk menyempurnakan ibadah sunat tersebut.

“Terlebih dahulu saya saya sangat berterima kasih kepada pihak yang terlibat kerana memberi peluang kepada saya untuk berkhatan pada hari ini.

"Saya sangat bersyukur ke hadrat Allah kerana kini saya sudah memenuhi syarat sebagai seorang lelaki Muslim serta mengikuti sunnah yang dituntut Nabi Muhammad,” katanya.

Ahmad Andrew Muling yang berketurunan Iban melafazkan dua kalimah syahadah pada 31 Disember 2021.

Ahmad Andrew Muling turut serta dalam program berkhatan beramai-ramai.

Program berkhatan beramai-ramai yang dinamakan ‘Sunathon Abang Mualaf’ ini diadakan pada awal pagi Isnin, anjuran Pertubuhan Akademi Al Bayan.

Program itu menyaksikan penglibatan 50 saudara mualaf pelbagai bangsa berusia antara tujuh hingga 72 tahun.

Pengasas dan Pengarah Al Bayan Global, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan, berkata program Sunathon Abang Mualaf ini bertujuan meraikan saudara yang baru memeluk Islam.

“Pertubuhan Akademi Al Bayan sentiasa komited untuk menjaga kebajikan dan keperluan mualaf. Seperti yang diketahui umum berkhatan merupakan satu kewajipan untuk dilaksanakan oleh setiap orang Islam.

"Namun begitu, kos untuk berkhatan bagi golongan dewasa bermula dari RM500 hingga RM1,000.

"Oleh itu kami mengambil tanggungjawab untuk membiayai golongan mualaf yang kurang berkemampuan dalam berkhatan," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain