BERJALAN cepat atau 'brisk walking' merupakan satu senaman yang efektif untuk meningkatkan daya tahan kardiovaskular. Melalui riadah ini ia boleh melatih jantung untuk cekap mengepam darah ke seluruh badan sekali gus mengekalkan stamina. Walaupun senaman berjalan cepat kelihatan mudah di atas kertas namun ramai sebenarnya yang tersalah teknik tanpa sedar ketika melakukannya. Perkara ini boleh menjejaskan keberkesanan senaman dan mensia-siakan titik peluh anda jika tidak dibaiki dengan segera. Mentor kesihatan yang menggunakan akaun vixarixofficial di TikTok berkongsi beberapa kesilapan lazim yang sering dilakukan orang ramai ketika senaman berjalan cepat. Ayuh kita lihat! 1) Jangan membongkok Dada dan dagu harus ditegakkan ke hadapan apabila melakukan senaman berjalan cepat. Anda disarankan untuk mengekalkan postur badan yang betul dan baik ketika berdiri dan berjalan iaitu haruslah lurus dan tegak. Secara umumnya ia bertujuan menyokong tulang belakang anda. 2) Lengan tidak seharusnya statik Lengan tidak sepatutnya longlai dan perlu dihayunkan seirama dengan langkah kaki. Anda digalakkan untuk menggerakkan lengan ketika senaman berjalan cepat. Perkara ini membolehkan anda untuk menyokong pergerakan tubuh badan dan tidak meletakkan tekanan pergerakan pada kaki sepenuhnya. 3) Jangan genggam tangan Jangan digenggam tapak tangan dengan erat, biarkan genggaman tapak tangan dalam keadaan bersahaja. Genggaman tangan anda harus kekal tenang ketika melakukan senaman berjalan cepat. Demikian untuk memastikan badan anda relaks kerana tapak tangan yang digenggam ketat bermaksud anda dalam keadaan yang tertekan. 4) Jangan buka langkah kaki terlampau besar Bukaan langkah kaki tidak seharusnya terlampau luas ketika senaman berjalan cepat. Dinasihatkan untuk tidak melangkah dengan terlampau besar ketika melakukan senaman berjalan cepat. Setiap langkah itu adalah penting untuk meningkatkan kadar degupan jantung. 5) Pastikan otot teras digunakan Gunakan otot di bahagian abdomen (perut) dan bahagian belakang badan ketika senaman berjalan cepat. Lemak kebiasaannya banyak terkumpul di bahagian tengah badan. Oleh itu pastikan anda menggunakan otot teras untuk membakar lemak di bahagian itu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube