suria

Anda mungkin sedang ‘balas dendam’ jika mengantuk, tapi rasa segar dan bertenaga ketika dah sedia nak tidur

Waktu tidur sering dirasakan sukar walau mata mengantuk dan badan sudah letih.. -Gambar hiasan

PERNAHKAH anda berasa begitu mengantuk ketika di dalam kelas, tempat kerja atau sedang memandu?

Ketika itu kepala sudah tersengguk-sengguk menahan mengantuk dan anda akan cuba membeliakkan biji mata untuk melawan kelopak yang sentiasa cuba untuk menutup penglihatan.

Berdepan situasi ini pasti tiada apa yang dibayangkan kecuali rumah dan katil untuk melelapkan mata serta merehatkan badan yang letih.

Namun tatkala malam menjelang atau di saat anda sudah pun selesa di atas katil, tiba-tiba sukar pula untuk melelapkan mata, malah anda seperti bertenaga untuk melakukan apa saja aktiviti.

Mula-mula mengantuk kemudian rasa itu hilang apabila di atas katil sering berlaku kepada mereka yang sibuk di siang hari. (Gambar hiasan, Freepik)

Anda akan bermain dengan telefon pintar, menonton filem atau membaca buku walau jam di dinding sudah menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam.

Situasi ini janggal bukan? Ini sebabnya.

Fenomena itu dalam istilah saintifik dipanggil sebagai Revenge Bedtime Procrastination (dendam penangguhan sebelum tidur).

Sebagai makluman, Revenge Bedtime Procrastination tidak dikira sebagai penyakit kesihatan berkaitan tidur tetapi sebaliknya ia adalah tentang tabiat dan disiplin diri.

Mereka yang tergolong dalam kategori ini biasanya mempunyai rutin atau urusan yang padat sehingga tidak mempunyai kelapangan masa untuk diri sendiri pada waktu siang.

Masa tidur digadaikan untuk menggantikan masa yang digunakan pada siang hari ketika bekerja. (Gambar hiasan, Freepik)

Disebabkan diri terikat dengan tanggungjawab di siang hari, maka apabila tiba waktu malam setelah selesai semuanya, mereka akan menggunakan peluang itu melakukan perkara yang diminati.

Mereka tanpa disedari 'membalas dendam' ke atas masa peribadi yang sepatutnya digunakan pada waktu siang, dengan malam adalah masanya untuk berseronok.

Individu yang tergolong dalam kategori ini biasanya berkerjaya dan mempunyai waktu kerja yang panjang.

Perkara ini jika berlarutan untuk jangka masa yang lama akan membawa kepada masalah kesihatan yang serius.

Ini kerana mereka tidur lewat dan keesokan harinya mereka harus bangun pada awal hari semula untuk ke tempat kerja atau ke kelas.

Ikuti tip ini agar lebih mudah untuk tidur. (Gambar hiasan, Freepik)

Oleh itiu, bagaimana cara untuk mengatasinya?

Pertamanya, disiplin diri harus dikuatkan kerana itu adalah kunci kepada segala-galanya

Seterusnya matikan gajet apabila tiba waktu yang ditetapkan dan jauhkan dari tempat tidur supaya sukar untuk anda mencapainya semula.

Selain itu, tutup lampu, gelapkan atau malapkan cahaya di bilik tidur supaya anda berasa tenang dan senang melelapkan mata.

Basahkan muka dengan pelembap (moisturizer) untuk menyejukkan wajah anda dan memudahkan proses untuk tidur.

Terakhirnya, tutup kotak fikiran anda dan jangan menerawang ke mana-mana tempat di dalam minda memikirkan masalah kehidupan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain