suria

Ada oren, kuning... 10 warna air kencing ini bantu beri petunjuk tahap kesihatan, urin anda yang mana satu?

Warna air kencing perlu diberi perhatian untuk memeriksa tahap kesihatan seseorang. (Gambar hiasan, Freepik)

WARNA air kencing kita sebenarnya berbeza-beza! Kadang-kadang jernih, ada harinya kuning, ada masa kuning pekat dan dalam keadaan tertentu berwarna gelap.

Warna air kencing sebenarnya boleh membantu memberi petunjuk kepada kesihatan kita.

Buah pinggang adalah organ penting yang bertanggungjawab menghasilkan air kencing selepas ditapis dan warna kuning pada air kencing pula disebabkan oleh pigmen yang dikenali sebagai urochrome.

Warna air kencing yang sihat ialah kuning pucat.

Berikut adalah faktor yang menyebabkan air kencing manusia berbeza warna.

Warna air kencing boleh memberikan gambaran tentang kesihatan dalaman seseorang. (Ganmbar hiasan, Freepik)

1) Air kencing jernih

Bermaksud air dalam tubuh anda lebih dari cukup. Ini petanda baik.

Bagaimanapun tetap berjaga-jaga kerana air kencing warna jernih juga boleh disebabkan oleh penyakit hepatitis dan diabetes.

2) Air kencing kuning terang

Biasanya disebabkan oleh pengambilan suplemen vitamin tambahan seperti Vitamin B2 dan Riboflavin.

Jangan risau, warna air kencing seperti ini baik dan menunjukkan tubuh anda menggunakan vitamin dengan betul.

3) Air kencing oren

Pengambilan ubat-ubatan tertentu menyebabkan air kencing berwarna oren.

Kencing berwarna oren juga boleh disebabkan oleh dehidrasi atau tubuh tidak cukup air. Kurangnya air dalam tubuh menyebabkan kandungan urochrome menjadi pekat.

Sentiasa beri perhatian terhadap warna air kencing. (Gambar hiasan, Freepik)

4) Air kencing kuning gelap

Bermakna tubuh anda mengalami dehidrasi (kekurangan air) yang kritikal.

Sila minum air masak dengan segera.

5) Air kencing hijau

Mungkin terdapat jangkitan pada pundi kencing. Jika berwarna hijau terang, ia disebabkan oleh Vitamin B berlebihan.

Pewarna makanan juga boleh menukar warna air kencing kepada hijau.

Mungkin pelik tetapi makanan semula jadi seperti sayur-sayuran asparagus juga boleh menyebabkan kencing berwarna hijau.

6) Air kencing biru

Kemungkinan ada jangkitan pada pundi kencing atau kerana Vitamin B dan kalsium berlebihan.

Ubat-ubatan tertentu juga boleh menjadi punca air kencing berwarna biru.

7) Air kencing coklat

Menunjukkan keadaan kesihatan yang teruk. Jika air kencing anda berwarna coklat segera berjumpa doktor.

Ini adalah tanda-tanda penyakit hepatitis, penyakit buah pinggang, hemolytic anemia dan lain-lain.

Dapatkan nasihat doktor perubatan jika dirasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan warna air kencing anda. (Gambar hiasan, Freepik)

8) Air kencing merah pucat

Jika kencing berwarna kemerahan, kemungkinan ada darah dalam urin itu.

Kehadiran darah itu mungkin disebabkan oleh jangkitan saluran kencing, batu karang, penyakit buah pinggang atau ketumbuhan pada pundi kencing.

9) Air kencing kelabu

Boleh menjadi sebab kepada batu karang. Batu karang biasanya bermula sebagai debu mikroskopik, tetapi juga begitu besar sehingga tidak dapat dijelaskan apabila kesakitan membuang air kecil.

Minum air yang mencukupi, senaman yang mencukupi dan mengambil vitamin tambahan boleh memberi manfaat.

Jika anda mengalami sakit atau pedih semasa kencing, segera jumpa doktor.

10) Air kencing putih susu

Menunjukkan kehadiran phosphaturia. Phosphaturia adalah satu tahap peningkatan garam fosfat dalam air kencing. Phosphaturia tidak semestinya berbahaya.

Ia dalam beberapa kes boleh memberikan petanda kehadiran batu buah pinggang. Jumpa doktor anda sebagai langkah berjaga-jaga.

Air kencing putih juga mungkin menandakan kebocoran atau limpahan sistem limfa ke dalam saluran buah pinggang atau kencing (chylurie).

Air kencing putih susu biasanya menunjukkan kepada kehadiran sel darah putih kerana adanya jangkitan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain