TIDUR yang berkualiti adalah sangat penting untuk memastikan hari esoknya dapat dilalui dengan bertenaga. Melelapkan mata pada dasarnya mungkin dilihat mudah tetapi sebenarnya ada beberapa faktor yang boleh menjejaskan waktu tidur anda. Penulis di MedTweetMYHQ dan juga ahli perubatan, Dr Muhaimin Sulam melalui ciapannya di Twitter menggariskan tentang disiplin di tempat tidur dan beberapa perkara lain yang perlu diberikan perhatian. Moga-moga melalui tip ini tidur anda akan menjadi lebih berkualiti. Kualiti tidur anda boleh dijaga dengan mengamalkan langkah-langkah ini. (Gambar hiasan, Freepik) 1) Kaitkan katil sebagai tempat untuk tidur sahaja Anda seharusnya naik ke katil apabila sudah berasa mengantuk. Minda anda perlu dilatih untuk melihat katil sebagai tempat tidur sahaja dan bukannya untuk aktiviti-aktiviti lain. Adalah sangat tidak digalakkan untuk melakukan aktivit-aktiviti seperti menonton televisyen, bermain telefon pintar dan membaca buku ketika di atas katil. Tabiat ini boleh membuatkan anda sukar untuk tidur di katil apabila sudah tiba waktunya untuk melelapkan mata. 2) Elakkan bermain telefon pintar sebelum tidur Melihat skrin gajet atau telefon pintar sebelum tidur boleh mengganggu corak waktu tidur anda. Spektrum cahaya biru yang dipancarkan daripada peralatan elektronik boleh mengekang penghasilan hormon melatonin yang membantu membuatkan anda berasa mengantuk. 3) Kurangkan menggunakan telefon pintar ketika di siang hari Menggunakan telefon pintar dengan kerap juga boleh menyebabkan anda berisiko tinggi untuk mengalami insomnia. Psikologi dalam diri anda membuatkan mata terbiasa untuk melekat dengan telefon bimbit. Anda akan menanti kemasukan notifikasi mesej atau hantaran status di media sosial sehingga anda terlajak dalam jadual harian dan seterusnya tidur lewat. Kurangkan penggunaan telefon pintar untuk tidur yang lena. (Gambar hiasan, Freepik) 4) Disiplin dalam memperuntukan waktu untuk setiap aktiviti anda Dalam badan manusia ada jam yang dipanggil sebagai 'Circadian rhythm' yang menjadi struktur kepada minda anda untuk melalui setiap ativiti harian. Pastikan anda mempunyai rutin harian yang seragam dan tidak kerap berubah-ubah. Kerana jika tidak, ia akan menjejaskan jadual badan anda iaitu 'Circadian rythym' dan ia boleh mengganggu corak waktu tidur. 5) Elak tidur di siang hari Simpan mengantuk anda untuk waktu malam. Jika lelapkan mata pada hari siang, ia akan menjejaskan 'Circadian rythym' anda dan mengakibatkan insomnia yang lebih teruk di malam hari. Namun begitu, jika anda tetap memerlukan tidur siang, pastikan ia sekejap sahaja dan elakkan pada waktu lewat petang iaitu pukul 3 petang ke atas. Tidur sekejap yang dimaksudkan itu adalah dalam jangka masa kurang dari 20 minit dan yang paling ideal adalah 10 minit. Tidur berpanjangan di siang hari juga boleh memberikan impak kepada kualiti tidur anda. (Gambar hiasan, Freepik) 6) Jangan ambil kafein sebelum waktu tidur Jangan ambil tiga perkara ini sebelum waktu tidur anda. Pertama, makanan atau minuman yang berkafein. Keduanya adalah pengambilan alkohol. Ketiga, jangan ambil bahan yang mengandungi nikotin. Elakkan ketiga-tiga perkara tersebut dalam tiga hingga ke enam jam sebelum waktu tidur, barulah boleh tidur lena. 7) Jangan tidur dalam bilik yang terang-benderang Gelapkan atau malapkan cahaya dalam bilik anda sebelum waktu tidur. Cahaya yang terlampau banyak di tempat tidur boleh menyekat penghasilan hormon melatonin untuk membantu tidur anda. Jika tidak boleh menggelapkan bilik tidur anda, sekurang-kurangnya pakai alas mata. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube