KEHILANGAN suami sebagai tempat bergantung harap akibat kemalangan jalan raya adalah satu hakikat yang pahit untuk ditelan wanita ini. Apatah lagi arwah suami yang berkerja sebagai penghantar makanan menggunakan motosikal (p-hailing) pergi meninggalkan empat anak kecil yang masih belum mengenali apa itu erti kehidupan. Namun dalam kesedihan itu, isteri mangsa iaitu Siti Nur Aishah Mohd Ali, 31, bersyukur dan terharu apabila nasib keluarganya mendapat perhatian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Siti Nur Aishah Mohd Ali kini sebatang kara membesarkan anak-anaknya setelah kehilangan suami. Arwah suaminya, Mohamad Khairul Nizam Abdul Rashid yang meninggal pada usia 30 tahun merupakan pencarum Perkeso menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sejak 10 Mei 2021. Susulan itu Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata pihaknya menyeru agar individu yang berkerja sendiri supaya menjadikan insiden seperti ini sebagai iktibar agar mendaftar dan mencarum dengan SKSPS. "Sesungguhnya malang tidak berbau dan kita tidak dapat menduga musibah yang mungkin menimpa sewaktu menjalankan pekerjaan. "Hanya dengan caruman SKSPS, keluarga Allahyarham Mohamad Khairul Nizam dapat dibantu Perkeso untuk meneruskan kelangsungan hidup. Siti bersama anak-anaknya. "Adalah diharapkan bayaran faedah Perkeso yang diterima akan dapat meringankan bebanan mereka memandangkan Allahyarham merupakan pencari nafkah tunggal keluarga. "Perkeso menyeru golongan bekerja sendiri terutamanya pekerja gig agar mengambil iktibar dari kisah ini serta segera mendaftar dan mencarum dengan SKSPS," kata Mohammed Azman Aziz. Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga mangsa di kediaman mereka pada Isnin. Turut serta dalam lawatan tersebut adalah Timbalan Ketua Eksekutif Operasi Perkeso, John Riba Marin, Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri, Haron Othman dan Pengarah Perkeso Negeri Selangor, Ismail Abi Hashim. Untuk rekod balu arwah menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM1,395 sebulan yang diserahkan sendiri oleh Mohammed Azman Aziz. Foto kenangan Siti dan suami bersama anak-anak mereka. Allahyarham Mohamad Khairul yang merupakan pekerja p-hailing untuk GrabFood pergi buat selamanya selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Bukit Ampang, Kuala Lumpur semasa perjalanan pulang ke rumah dari menghantar pesanan pelanggan. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius dalam kemalangan yang melibatkan motosikal yang ditungganginya, sebuah lori serta satu kenderaan lain dari arah bertentangan pada 11 Mac lalu. Kini isteri arwah berseorangan membesarkan empat cahaya mata mereka iaitu Aqil Rizky, 10 tahun dan adik-adiknya, Nur Izzara Aqilah, 9, Nur Irdina Ayra, 7 dan Muhammad Aqif yang berumur 4 tahun. Perkeso menyeru golongan bekerja sendiri segera mendaftar serta mencarum dengan SKSPS kerana sekiranya sesuatu yang buruk berlaku, kebajikan isteri dan anak-anak kecil yang ditinggalkan dapat dibela. Faedah Perkeso yang diterima mengangkat sedikit beban dari bahu Siti dalam menyara anak-anaknya. Untuk makluman, bagi tahun 2023, menerusi Program Padanan Caruman Pekerja Sendiri, kerajaan menaja caruman sebanyak 80 peratus atau RM186.20 di bawah Pelan Caruman 2 SKSPS kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang layak termasuk dalam sektor gig. Ini bermakna OBS hanya perlu membayar 20 peratus daripada caruman SKSPS iaitu sebanyak RM46.60 untuk mendapat perlindungan SKSPS selama 12 bulan. Siti menjadikan anak sebagai sumber kekuatannya setelah apa yang berlaku. Rekod Perkeso menunjukkan pada 2022, seramai 4,724 pencarum menerima faedah SKSPS yang dianggarkan berjumlah RM14.43 juta berbanding 1,993 pencarum SKSPS yang menerima faedah berjumlah RM4.54 juta pada 2021. Kenaikan dalam bilangan penerima faedah dan jumlah pembayaran faedah ini berikutan peningkatan tahap kesedaran dalam kalangan golongan bekerja sendiri tentang perlindungan SKSPS. Mereka mula sedar bahawa masing-masing terdedah kepada risiko kemalangan sewaktu melakukan aktiviti pekerjaan sendiri. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube