suria

Rupanya tak boleh puji anak pintar, cantik atau kacak! Patut la apabila besar jadi ‘perasan bagus’

Pujian kepada anak boleh membawa padah jika tersilap langkah. (Gambar hiasan, Freepik)

SEBAGAI ibu bapa, apa yang penting adalah untuk melihat anak-anak gembira dan bahagia.

Selain dimewahkan dengan harta benda jika berkemampuan, ibu bapa juga tentu memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi melalui pujian dan kata-kata semangat.

Namun begitu, tanpa diketahui sesetengah daripada pujian-pujian itu sebenarnya ada bahaya tersendiri ke atas anak-anak.

Setiap ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. (Gambar hiasan, Freepik)

Melalui perkongsian oleh Public Health Malaysia, ternyata pujian yang baik dan positif adalah ungkapan yang menghargai usaha keras anak-anak.

Bagaimana pula dengan pujian yang buruk dan negatif, adakah wujud perkara sedemikian? Ayuh kita lihat satu-persatu kupasannya.

Apa itu pujian negatif?

Kajian psikologi menunjukkan bahawa memuji kanak-kanak sebagai 'pintar, cantik, kacak' dapat dikaitkan dengan lebih banyak kesan yang negatif.

Apabila kita berulang kali memuji anak sebagai pintar atau pandai, mereka akan mula mempunyai pemikiran (mindset) bahawa mereka adalah kanak-kanak yang pintar dan berkebolehan sejak azalinya (gifted).

Pada permulaan mungkin semuanya baik, tetapi lama-kelamaan mereka akan mempunyai pemikiran tetap (fixed mindset) bahawa mereka berbakat, bijak secara semula jadi dan mempunyai kelebihan berbanding kanak-kanak lain.

Pujian kepada anak adalah negatif apabila ia menekankan kepada anugerah yang dimilkinya. (Gambar hiasan, Freepik)

Kesan apabila kanak-kanak dipuji dengan cara yang salah

Kesan untuk jangka masa panjang:

1) Tidak banyak berusaha kerana percaya diri mereka sebagai istimewa.

2) Tidak mahu atau takut menyahut cabaran baharu.

3) Takut dan sukar untuk menerima kegagalan.

4) Mula belajar menipu untuk memastikan reputasi kekal sebagai kanak-kanak pintar.

Sebagai permulaan, cuba untuk tidak merujuk anak anda sebagai 'pintar' atau sebarang label yang merujuk kepada kebolehan atau anugerah anak seperti berbakat, kreatif, cantik dan kacak.

medium-shot-smiley-girl-with-coloring-book

Anak harus dipuji melalui usaha yang dicurahkan mereka. (Gambar hiasan, Freepik)

Cara yang sebetulnya untuk memuji anak

Sebaliknya, puji anak-anak atas kerja keras dan usaha mereka.

Anda juga boleh memuji anak kerana komitmen mereka pada tugas.

Selain itu, berikan pujian untuk strategi atau kreativiti yang digunakan mereka dalam menyelesaikan tugasan yang sukar.

Berikut adalah contoh-contoh ayat pujian yang boleh memberikan impak positif kepada anak.

1) Kami sangat berbangga dengan usaha keras kamu.

2) Kejayaan ini adalah hasil usaha keras kamu.

Asian Boy playing with plastic blocks in library room school

Apabila usaha anak dihargai, mereka akan lebih yakin dengan diri mereka. (Gambar hiasan, Freepik)

3) Hasil tidak mengkhianati usaha, sebab kamu rajin buat latihan matematik, kamu berjaya mendapat markah tinggi.

4) Kejayaan menjadi juara pada hari sukan ini disebabkan kamu kuat berlatih.

Kanak-kanak yang dipuji kerana 'kerja keras' akan mempunyai semangat dan motivasi yang lebih tinggi.

Apabila berhadapan dengan kegagalan, mereka tahu mereka perlu meningkatkan usaha.

Sebaliknya pula untuk anak yang dipuji kerana anugerah mereka, kelompok ini akan membenci diri apabila menemui kegagalan kerana sering dikatakan sebagai seorang yang istimewa, berkebolehan dan berbakat. - Public Health Malaysia

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain