suria

Dah nak raya, ada ibu berhajat tindik telinga bayi? Jangan ambil remeh, silap haribulan boleh sawan!

Ibu bapa harus tahu tentang risiko menindik telinga bayi. -Foto Freepik

BAGI ibu bapa yang menantikan kehadiran cahaya mata perempuan, sudah pasti mereka tidak sabar-sabar mahu menggayakan si anak seperti seorang puteri.

Salah satunya adalah menindik telinga bayi untuk dipasangkan anting-anting.

Tambahan pula menjelang Aidilfitri yang bakal menjelma kira-kira dua minggu sahaja lagi, pasti si ibu sudah berkira-kira mahu memakaikan si kecil mereka dengan perhiasan atau barang kemas.

Memanglah comel apabila si kecil menggayakan anting-anting, namun bagi yang berusia enam bulan ke bawah, masih belum sesuai untuk ibu bapa menindik telinga bayi mereka.

Menurut doktor kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Hj Ahmad, ramai ibu bapa yang tidak tahu dan terlepas pandang bahawa luka daripada kesan tindikan berbahaya pada bayi usia begini.

suntik 1

Vaksin Diphteria-Tetanus-Pertusiss (DaP) boleh melindungi daripada tetanus. Gambar hiasan.

"Ramai ibubapa yang mahu menindik telinga bayi perempuan mereka. Imam Ahmad berpendapat, hukum menindik telinga bayi perempuan hukumnya harus, manakala menindik telinga lelaki adalah makruh. (Ahkam Maulud, Ibn Qayyim hlm 27)

"Jadi ia bukanlah sesuatu yang digalakkan oleh Islam," demikian pandangan Dr Zubaidi.

ARTIKEL BERKAITAN: Disangka autisme, rupanya 2 anak hidap MPS II! Ibu bapa perlu tahu tentang ‘penyakit jarang jumpa’, diagnos boleh makan masa 2 tahun

Tambah beliau, sebelum membuat keputusan untuk menindik telinga bayi, ibu bapa perlu tahu risikonya terlebih dahulu.

Ini kerana ujarnya, luka daripada kesan tindikan jika tidak dirawat atau dibiarkan, ia akan menyebabkan jangkitan kuman tetanus, sekali gus boleh menyebabkan bayi mengalami kekejangan dan sawan.

Justeru, beliau kongsikan beberapa perkara yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa yang bercadang mahu menindik telinga bayi mereka.

1. Prosedur menindik telinga anak seharusya dilakukan dengan cara yang bersih supaya tidak berlaku jangkitan kuman pada cuping telinga anak.

2. Prosedur ini seeloknya dilakukan apabila anak sudah semakin membesar, sekurang-kurangnya enam bulan kerana usia berkenaan mempunyai daya tahan yang lebih kuat.

3. Pastikan anak disuntik dengan vaksin Diphteria-Tetanus-Pertusiss (DaP) yang melindunginya dariripada tetanus. Banyak kes jangkitan kuman yang lebih bahaya menyebabkan kejang dan sawan akibat jangkitan kuman tetanus berpunca daripada luka tindikan.

tindik 2

Prosedur menindik seeloknya dilakukan apabila si kecil berusia enam bulan dan ke atas. Gambar hiasan. Foto: Freepik

4. Pastikan orang yang melakukan tindikan menggunakan jarum yang bersih dan steril. Prosedur in lebih baik dilakukan di klinik kerana doktor akan menggunakan disposable sterilized needle.

Doktor juga akan meberikan bius pada cuping telinga sebelum menindik cuping telinga bayi.

5. Pastikan anting-anting yang hendak digunakan adalah dibuat daripada bahan yang berkualiti dan tidak menyebabkan alahan seperti emas, platinum dan titanium. Anting-anting yang dibuat dari kromium selalunya menyebabkan radang dan alahan pada cuping telinga.

6. Dalam masa 6 minggu pertama, ibubapa harus memberikan perhatian pada luka tindikan itu. Ini untuk memastikan tiada jangkitan kuman atau alahan pada cuping telinga anak.

7. Jaga kebersihan luka menggunakan air bersih saja.

Bak kata satu ungkapan, sebaik-baiknya mencegah daripada merawat.

Tak salah untuk menggayakan dan mencantikkan si kecil, namun sebaiknya ambil tahu beberapa perkara sebelum melakukannya kerana dibimbangi akan memudaratkan kesihatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain