suria

Ramai ‘balas dendam’ ketika berbuka, diet pun ‘terbabas’! Ini 8 tip kekal berat badan ketika berpuasa

Dalam tidak sedar, ramai yang terlalu mengikut nafsu sehingga lupa mengawal pemakanan. -Gambar hiasan

BULAN Ramadan bukan sahaja melatih kita untuk menahan lapar dan dahaga, bahkan mengajar erti disiplin dalam pemakanan.

Mana tidaknya, setelah seharian berpuasa, pasti ada yang mahu 'membalas dendam' dengan menikmati pelbagai juadah enak selepas waktu berbuka.

Secara tidak langsung, mereka yang dalam proses untuk menurunkan berat badan kadang-kala 'terbabas' kerana tak tahan godaan aneka juadah yang enak.

Ingin mengekalkan berat badan semasa berpuasa? Ayuh, ikuti petua diet yang dikongsikan seorang pakar nutrisi bertauliah, Salaamah Solomon.

1. Jauhi makanan bergoreng ketika berbuka puasa

Elakkan makanan yang terlalu berlemak atau berminyak, seperti hidangan bergoreng ketika berbuka. Makanan seperti ini cenderung menjadikan badan menyimpan lebihan kalori dan mengakibatkan berat badan berlebihan.

2. Kurangkan 'portion' makanan

Walaupun anda berpuasa sepanjang hari, elakkan makan berlebihan pada waktu sahur dan berbuka. Salah satu 'kunci' untuk tidak menambah berat badan pada bulan Ramadan ialah mengurangkan bahagian (portion) makanan, baik pada waktu sahur mahupun berbuka.

puasa 1

Aneka juadah yang pastinya menguji tahap disiplin seseorang dalam pemakanan. -Gambar hiasan

3. Pilih menu sahur yang betul

Anda disarankan makan makanan yang mengandungi protein dan karbohidrat kompleks untuk berasa kenyang lebih lama dan mengelakkan rasa lapar di siang hari.

Dalam proses memasak, makanan bergoreng tidak digalakkan sebagai menu sarapan pagi kerana boleh menyebabkan kembung perut. Makanan bergoreng juga perlu dielakkan kerana ia boleh membuat anda lebih dahaga.

ARTIKEL BERKAITAN: Ini cara paling selamat merangsang otot ketika puasa... Sambil tunggu waktu berbuka pun boleh!

4. Tingkatkan pengambilan minuman

Air boleh membantu mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan, mencegah dehidrasi, dan membantu mengurangkan rasa lapar. Ini antara tip diet semasa berpuasa supaya anda tidak terlebih makan pada waktu sahur atau berbuka.

kurma

Kurma sememangnya mempunyai pelbagai khasiat khususnya untuk mereka yang sedang dalam proses menurunkan berat badan. Gambar hiasan

5. Hadkan kafein dan gula

Kafein dan gula cenderung untuk membuatkan badan mudah berasa dahaga dan lapar. Petua diet semasa berpuasa, anda perlu mengurangkan pengambilan teh atau kopi, terutama pada waktu sahur.

Kafein adalah diuretik dan boleh menyebabkan badan kehilangan air dengan lebih cepat melalui kencing. Ini boleh menyebabkan dehidrasi dan tidak selamat untuk diet.

Salaamah mengesyorkan agar anda mengambil air dan cecair dengan vitamin seperti jus buah-buahan segar untuk menggantikan minuman berkafein.

6. Pilih makanan memberi tenaga

Tip diet berpuasa yang lain adalah dengan memilih makanan berserat tinggi terutama pada waktu sahur. Hidangan sahur hendaklah mengandungi makanan sihat yang membekalkan tenaga berpanjangan sepanjang hari.

Makanan yang membekalkan tenaga mengandungi karbohidrat kompleks dan tinggi serat, seperti gandum, kekacang, dan beras.

Sementara itu, makanan yang kaya serat dan dihadam secara perlahan juga perlu ditambah seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

bersukan

Bulan puasa bukan alasan untuk tidak aktif bersukan. Gambar hiasan.

7. Pilih kurma untuk berbuka

Daripada makan bergoreng, lebih baik pilih kurma sahaja untuk berbuka. Pengambilan kurma dan air yang cukup akan membantu anda memulihkan paras gula dan garam dalam badan.

Pelbagai khasiat kurma sebagai makanan berbuka puasa untuk diet seperti mudah dihadam; mengurangkan rasa lapar supaya anda tidak makan berlebihan; persediaan perut untuk menerima makanan selepas berpuasa sepanjang hari; kaya dengan gula dan tenaga untuk memulihkan nutrien dalam badan dan mengelakkan sembelit akibat perubahan waktu makan.

8. Kekal bersukan

Kekal aktif dengan senaman ringan semasa berpuasa. Bersenam boleh membantu meningkatkan metabolisme dan membakar lemak yang tersimpan dalam badan.

Anda boleh memilih waktu untuk bersenam pada sebelah petang atau malam selepas berbuka. Berjalan selama 45 minit mengelilingi rumah juga merupakan senaman fizikal yang baik untuk kesihatan. Selamat mencuba! - Wolipop

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain