suria

Kalaulah anda tahu 5 bahaya tidur semula selepas sahur ini, pasti tak mahu buat lagi!

Jika kerap dengan tabiat tidur selepas makan, otak mungkin kekurangan oksigen dan menyebabkan strok. Foto: Freepik

PASTI ada antara kita yang cepat berasa mengantuk selepas bersahur dan akhirnya kembali ke tempat tidur selepas makan.

Selain dibimbangi tabiat ini akan menyebabkan seseorang itu 'terbabas' menunaikan solat subuh, namun tahukah anda tidur selepas bersahur sebenarnya membahayakan kesihatan.

Ini kerana, makanan yang kaya karbohidrat dan lemak memerlukan waktu minimum dua jam untuk dicerna.

Apabila anda tidur dalam masa dua jam setelah makan, saluran pencernaan belum sempat mencerna makanan, yang akhirnya akan menyebabkan gangguan saluran pencernaan dan penyerapan nutrien tubuh.

Hasilnya, makanan yang dimakan tidak mampu menghasilkan tenaga yang diperlukan tubuh.

Memetik dari laman Hellodoktor, terdapat lima risiko yang membahayakan kesihatan akibat tabiat tidur selepas bersahur.

1. Menambahkan lemak

Terdapat kajian yang mengatakan mereka yang mempunyai sejarah keturunan keluarga gemuk, kebiasaan tidur setelah makan sahur dapat meningkatkan risiko mengalami kegemukan sebanyak dua kali ganda, lebih-lebih lagi dengan pengambilan makanan berlemak atau makan makanan bergoreng.

Ini kerana sewaktu tidur, tubuh secara automatik akan memerlukan hanya sedikit tenaga. Kesannya, makanan tidak akan dimanfaatkan sebaliknya bertimbun menjadi lemak yang akhirnya risiko mengalami obesiti pun semakin meningkat.

Profesor dari Southeast Missouri State University, Jeremy Barnes turut menjelaskan, pada saat tidur terdapat peningkatan kadar hormon grehlin, yang boleh membuatkan seseorang berasa lebih lapar ketika bangun.

obes

Kebiasaan tidur setelah makan sahur dapat meningkatkan risiko mengalami kegemukan sebanyak dua kali ganda. Foto: Freepik

ARTIKEL BERKAITAN: Ada sebab kenapa kita tak digalakkan tidur selepas sahur... jom ambil tahu!

2. Gastroesophageal Reflux Disease (GERD) atau refluks asid perut

Ini terjadi kerana laluan antara perut dan kerongkong tidak tertutup secara sempurna. Hal ini biasanya disebabkan oleh pengaruh graviti iaitu perubahan posisi.

Posisi berbaring atau tidur selepas sahur boleh menyebabkan makanan yang belum sempurna dicerna mungkin berbalik daripada perut ke kerongkong. Makanan ini membawa sekali asid perut, yang boleh menyebabkan keradangan, bahkan luka pada kerongkong.

Jika anda mengalami rasa panas di dada, sakit kerongkong, mual, sendawa dan mulut terasa pahit, awas! Itu adalah simptom-simptom yang menunjukkan adanya refluks.

3. Boleh menyebabkan strok

Strok terbahagi kepada dua iaitu strok penyumbatan (ischemic) dan strok perdarahan (hemorrhage). Jenis strok yang terkait dengan kebiasaan tidur setelah makan adalah strok penyumbatan.

Ini kerana sewaktu tidur, aliran darah ke otak harus tetap berterusan mengikut keperluan. Apabila perut juga sedang menjalankan aktiviti iaitu mencerna makanan, maka bekalan aliran darah menjadi terbahagi.

Dalam jangka panjang, apabila kebiasaan ini diteruskan, otak mungkin kekurangan oksigen dan menyebabkan strok. Oleh itu, hindari kebiasaan tidur setelah makan, terutama sewaktu makan sahur untuk puasa.

gerd 1

Mereka yang mempunyai masalah gastrik disarankan untuk mengelakkan tabiat tidur selepas makan. Foto: Freepik

4. Peningkatan asid perut

Apabila makanan tidak tercerna dengan sempurna, asid perut boleh menyebabkan keradangan dinding perut. Mereka yang berdepan dengan situasi ini akan merasai sakit di sekitar hulu hati atau perut kiri bahagian atas, atau rasa panas pada dada. Bagi mereka yang mempunyai penyakit gastrik, hati-hati ya!

5. Gangguan saluran pencernaan

Proses pengosongan perut biasanya berlangsung sekitar dua jam setelah makan. Bagaimanapun, posisi berbaring boleh mengganggu proses ini.

Jika terus berlaku, maka gangguan pencernaan seperti cirit-birit ataupun sembelit boleh terjadi, bergantung kepada bahan makanan yang masuk ke dalam perut anda.

Justeru, anda disarankan mengelak makanan kaya lemak, kaya gula, dan kafein ketika bersahur. Sebaliknya perbanyakkan makan buah dan sayur agar proses pencernaan menjadi lancar. Semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain