suria

Azan Maghrib berkumandang, doktor masih cuba selamatkan ‘pesakit bukan manusia’ - “Ini sumbangan saya kepada makhluk Allah”

Dr Nor Alimah berkongsi pengalaman menyelamatkan pesakit sewaktu bulan Ramadan.

KETIKA seluruh umat Islam sedang menantikan laungan azan Maghrib untuk berbuka puasa, namun berbeza situasi yang dilalui oleh pegawai veterinar ini.

Dia masih berada di dewan pembedahan, bergelut dan sedaya upaya melakukan yang terbaik demi menyelamatkan nyawa pesakit yang sedang nazak.

Tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan ahli keluarga pesakit adalah amanah yang perlu dilaksanakannya walaupun terpaksa mengetepikan dahulu rasa lapar dan dahaga demi satu nyawa.

Itulah antara pengalaman paling getir Pegawai Veterinar Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nor Alimah Rahman.

Berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang veterinar, tugas menyelamatkan nyawa pesakit ketika bulan Ramadan menjadi lebih mencabar terutama ketika menjelang waktu berbuka puasa.

"Detik-detik paling menyedihkan sewaktu pesakit kami sedang nazak dalam bilik pembedahan ketika azan berkumandang.

doc 2

Dr Nor Alimah berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang veterinar.

"Masa itu, kami berusaha sehabis yang mungkin bergabung tenaga menghabiskan operasi pembedahan dalam masa yang pantas supaya dapat selamatkan nyawa pesakit.

ARTIKEL BERKAITAN: “Orang berilmu langsung tak ada isu dengan saya” - Doktor veterinar buat amal jariah selamatkan anjing ‘sekolahkan’ manusia berfikiran sempit

"Bayangkan sewaktu jalani pembedahan tersebut, mereka nazak dan ahli keluarga semua bergegas ke hospital untuk melihat keluarga kesayangan mereka pergi.

"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un pesakit telah pergi selama-lamanya ketika pembedahan dilakukan," ujarnya ketika mengimbas kembali detik yang masih segar dalam ingatannya itu.

Meskipun bukan seorang manusia, namun dia amat memahami betapa pesakitnya itu sudah dianggap seperti ahli keluarga sendiri oleh pemilik yang memeliharanya.

"Perasaan sebak dan air mata mengalir kerana faham bahawa ahli keluarga ini bakal kehilangan seorang ahli tercinta lagi-lagi pada waktu berbuka di bilik bedah.

"Emosi ahli keluarga sangat terkesan lagi-lagi semasa waktu berbuka puasa.

"Kami sebagai doktor veterinar perlu kuat walaupun telah kehilangan pesakit, sebagai penghormatan kepada keluarga pesakit walaupun masih belum berbuka puasa," ujar Dr Nor Alimah.

Bukan hanya tidak berkesempatan berbuka puasa sekiranya perlu melakukan pembedahan penting, doktor ini juga berkata ada kalanya mereka tidak berkesempatan menunaikan solat sunat tarawih.

"Ini kerana pembedahan kepada pesakit yang memakan masa agak lama. Mungkin ini sumbangan saya kepada makhluk Allah di atas muka bumi ini.

"Oleh itu kita haruslah sentiasa bersyukur dan melakukan tanggungjawab dan amanah ini kerana Allah," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain