suria

Raya nanti rasa macam nak upload semua foto, video comel anak? Boleh... tapi elak kongsi foto yang ada 6 ciri ini

Tidak salah memuat naik foto anak-anak ketika raya namun ibu bapa dinasihatkan agar lebih berwaspada. Gambar hiasan

MENGABADIKAN kenangan dengan memuat naik gambar dan video di media sosial adalah antara perkara yang wajib dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri.

Tidak salah pun berbuat demikian, apatah lagi tujuan utamanya adalah untuk menyimpannya sebagai kenangan dan berkongsi kegembiraan bersama rakan-rakan atau pengikut masing-masing.

Namun, dalam keterujaan berkongsi momen-momen indah itu di media sosial, ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan bagi mengelakkan ia disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Mungkin kelihatan remeh, tapi percayalah, gambar-gambar yang dikongsikan sebenarnya boleh dieksploitasi oleh pihak ini bukan sekadar untuk mengaut keuntungan tetapi untuk memuaskan nafsu sendiri!

Oleh itu, ibu bapa atau golongan yang lebih dewasa perlu lebih berhati-hati dalam menapis foto melibatkan anak-anak kecil sebelum memuat naik di laman sosial kerana bimbang ia disalah guna oleh golongan pedofilia.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah nak raya, ada ibu berhajat tindik telinga bayi? Jangan ambil remeh, silap haribulan boleh sawan!

Bak kata pepatah, beringat sebelum kena. Berikut adalah saranan yang dikeluarkan oleh portal Public Health Malaysia (PHM) sebagai peringatan dan panduan bersama.

phm

Peringatan yang dikongsikan di laman Facebook PHM.

"Semasa musim perayaan ini, ibu bapa perlu berhati-hati dan mengelakkan berkongsi gambar-gambar anak dalam keadaan yang boleh dimanipulasi.

"Mungkin ada mata-mata yang sedang memerhati dan menggunakan gambar tersebut untuk memuaskan nafsu jelik mereka.

"Saranan ini juga terpakai untuk anak lelaki ya. Lindungi privasi anak anda dari menjadi mangsa jenayah pedofilia," demikian menurut PHM dalam perkongsiannya.

Kepada ibu bapa, elakkan memuat naik gambar anda yang mempunyai ciri-ciri berikut:

1) Gambar anak tidak berpakaian.

2) Anak sedang mandi.

3) Anak sedang tidur dengan pakaian terselak.

4) Maklumat peribadi seperti nama, umur, alamat dan nama tadika.

5) Gambar sedang dihukum.

6) Gambar memalukan.

Ingat, dalam dunia serba canggih ketika ini, semuanya tidak mustahil untuk berlaku.

Jadi tidak salah sekiranya kita mengambil langkah awal dengan berwaspada demi melindungi zuriat masing-masing. Semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain