DUIT tidak boleh menjamin kebahagian. Begitulah bait yang seringkali kita dengarkan apabila bercakap tentang keharmonian dalam kehidupan seseorang. Seperti perkongsiannya di Facebook I Am Broku, dia membuat satu hantaran berbentuk teguran buat semua berlandaskan pengalamannya sendiri. “Ini adalah kisah benar. Sudah banyak restoran saya singgah sejak lima hingga enam tahun ni. Sama juga dengan bisnes-bisnes lain. “Apabila pemilik jumpa dengan muka kusam, suram, dan sedih beritahu yang bisnes mereka tengah merundum. Menjaga hubungan suami isteri dengan merancang percutian. “Saya tak tanya bab ni (masalah keluarga) tapi apabila buka mulut cerita tentang masalah itu dan ini saya dengar. Tapi hampir kesemua mereka akan cerita bab masalah keluarga,” katanya. Bagaimanapun, ujar usahawan tersebut, dia tidak boleh masuk campur untuk menyelesaikan masalah keluarga orang lain. Katanya lagi, hampir 80 peratus peniaga yang mengalami krisis dalam perniagaan menghadapi masalah dalam keluarga. Menurutnya, peniaga-peniaga ini merasakan bahawa peniagaan lebih penting berbanding mengutamakan keluarga. “Mereka rasa bisnes lagi penting. Ada duit baru keluarga bahagia. Tak ada duit, keluarga jadi mangsa. Terbalik! “Benda pertama yang anda kena selesaikan adalah keluarga. Keberkatan daripada jaga amanah utama anda itulah yang akan berkait rapat dengan bisnes anda. Baru bisnes menjadi,” ujarnya lagi. Hubungan yang baik dalam keluarga penting demi keberkatan mencari rezeki. Terdapat lima golongan yang perlu diutamakan menurut I Am Broku dalam perihal kekeluargaan: 1. Suami atau isteri Setiap pasangan perlu jadi macam baru bercinta dulu-dulu. Elakkan bergaduh besar dan sekiranya ada masalah terus bincang. Rancang sebuah percutian untuk bina semula rumahtangga yang bahagia. 2. Ibu bapa Jaga ibu bapa kita baik-baik macam mana mereka jaga kita sampai besar panjang. Dahulukan duit belanja untuk mereka dulu sebelum kita. 3. Mak ayah mentua (bagi yang sudah berkahwin) Layan mentua seperti ibu bapa kandung kerana mereka mak ayah pasangan kita. Minta mereka doakan kesejahteraan dan keberkatan hidup. 4. Adik-beradik Jaga hubungan dan jangan biarkan adik-beradik hidup dalam kesusahan. Sebelum bersedekah, pastikan adik-beradik tidak berada dalam kesusahan. 5. Anak-anak Anak-anak merupakan amanah yang perlu dijaga, dididik dan diberi keselesaan semampu yang boleh. Doa seorang anak cukup kuat untuk ibu bapa. Jelasnya, sekiranya kelima-lima perkara ini dilunaskan, satu-persatu jalan ‘terbuka’ untuk selesaikan masalah membelenggu. “Magik? Bukan, itu janji Allah dan itu suruhan Rasulullah. “Hati-hati ya. Jangan apabila dah tak ada baru nak menyesal,” ujarnya pada akhir hantaran tular. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube