MEMBERIKAN bayi puting tiruan mencetuskan pelbagai pendapat dalam kalangan masyarakat. Selain menyebabkan bayi atau kanak-kanak ini mengalami masalah kembung perut (masuk angin), risiko untuk mereka bergigi jongang juga menjadi kebimbangan ketakutan bagi ibu bapa. Seorang bapa berkongsi pengalaman bagaimana dia berjaya membuatkan anaknya yang berusia 1 tahun 6 bulan tidak lagi mahu menghisap puting kosong. Pada awalnya, pelbagai cara dilakukan oleh Muhammad Zaini Jasni namun semuanya tidak berjaya apabila anaknya tetap mahu puting tiruan 'melekat' di mulut sehingga dibawa ke bilik mandi. "Anak saya seorang penghisap puting yang tegar. Dia mula menghisap seawal usia dua bulan. Kadar ketegaran dia sehingga hendak mandi pun kena hisap puting. "Apatah lagi waktu dia hendak tidur. Puting ibarat candu yang tidak boleh berenggang dari mulut. "Disebabkan ramai nasihat, kalau tidak dari sekarang dipisahkan dia dengan puting, akan datang bila umur meningkat lagi susah," jelasnya. Kanak-kanak ini masih menghisap puting pada usia 1 tahun 6 bulan. Berikut antara petua yang Zaini dan pasangannya cuba amalkan bagi mengatasi masalah ini: 1. Hilangkan puting dari pandangan Kaedah ini bertahan selama beberapa jam. Ketika anak mula bosan, dia mencari puting semula. Zani dan isteri beritahu puting hilang, dia menangis dengan kuat. Cara ini kurang berjaya. 2. Guna halia Tumbuk halia sehingga halus. Kemudian lumurkan pada puting anak. Selepas diberikan kepada anak, apa yang terjadi selepas itu sangat tidak dijangka pasangan ini. "Anak saya suka pula hisap dengan halia. Gagal lagi kali ini," katanya. 3. Guna serbuk kunyit Gaulkan puting dengan serbuk kunyit. Perap lebih lama. "Malam ketika hendak tidur kami berikan puting. Kali ini, anak tolak puting tersebut. "Siap buat mimik loya berkemungkinan dia rasa geli lihat puting tersebut dengan warna kekuningan," kata Zaini. Walaupun cara menggunakan serbuk kunyit berjaya, terdapat beberapa cabaran terpaksa ditempuhi pasangan ini untuk tempoh seminggu. Puting tiruan sering menjadi pilihan ibu bapa untuk diberikan kepada anak kecil mereka. -Gambar hiasan "Malam waktu tidur, dia akan menangis mahukan puting. Tapi bila kami suakan puting yang berlumur kunyit, langsung dia tolak. "Masa ni ibu bapa kena kuat. Memang kasihan tengok anak, tapi kalau tidak buat dari sekarang, anak akan susah pisah dengan puting. "Akhirnya kini, kalau kami beri puting biasa, yang tidak dilumurkan dengan kunyit, dia tetap akan tolak. Terbukti kaedah ini berjaya untuk anak kami," katanya menceritakan pengalaman. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube