suria

Anda dah boleh kurangkan 8 perkara ini dalam kehidupan jika badan mudah lemau, cepat sensitif

Wanita kongsi lapan perkara perlu dikurangkan dalam kehidupan.

APABILA usia semakin meningkat, banyak perkara perlu dipertimbangkan semula dalam kehidupan.

Sebagaimana dikongsikan Siti Suryani Yaakop, ketika memasuki usia 40, badan mudah menjadi lemau tidak seperti zaman mudanya.

'Krisis' berkaitan usia itu bukanlah dihadapi dirinya sahaja malah rakan-rakan sebaya turut merungut kerana perkara sama terjadi kepada mereka.

“Hari tu ada borak dengan suami. Saya kata kenapa semenjak masuk 40 ni, badan macam 'automatik' habis bateri.

"Kawan-kawan yang nak masuk 40 pun mula kata (merugut) benda yang sama. Cepat rasa penat. Kadang pula sensitif yang amat.

"Memang begitu agaknya. Orang kata krisis pertengahan usia. Pemula pada usia yang nak masuk matang dan 'empuk' macam orang selalu cerita," katanya.

Dalam hantaran sama, Suryani turut menyenaraikan lapan perkara perlu dikurangkan dalam kehidupan apabila menjangkau hampir pertengahan umur.

1. Kurangkan makan

Disebabkan badan kita ni sudah menua begitu juga organ di dalamnya, keperluan tubuh pun semakin berbeza.

Makan sekadar cukup untuk memberikan tenaga dan tidak boleh lagi 'sumbat' selagi ada seperti sebelum ini.

2. Kurangkan berkawan

Bukanlah semua perlu ditinggalkan. Mana-mana kawan yang masih dalam hubungan baik kita kekalkan.

Mana kawan-kawan 'toksik' (negatif) kita maafkan kemudian kita lupakan. Kemudian alihlah perhatian.

Waktu begini kena cari kawan yang selalu ingat mengingatkan bahawa dunia ini bukanlah tempat berkekalan dan sering nasihat kita untuk terus sediakan bekalan (amalan persediaan untuk akhirat).

3. Kurangkan membeli

Mungumpul barang sudah tidak perlu lagi kerana semakin banyak barang semakin semak kita tengok sana sini.

Lagi pula kita sudah tahu barang tidak dipakai akan jadi beban di sana (akhirat) nanti.

Berapa banyak rupanya dahulu wang kita terbazir atas nama hobi dan sebab kita minat nak kumpul koleksi.

4. Kurangkan bercakap

Benda ni senang saja untuk suami tetapi kaum isteri memang kena 'berlatih' lagi.

Kata seorang ustaz, kalau nak kurangkan bercakap banyakkan berzikir di mulut dan hati.

Bila semakin banyak ia terisi, semakin kurang rasa nak bercakap perkara yang tak mendatangkan erti faedah.

5. Kurangkan merungut

Terdapat dua jenis manusia yang sering ditemui.

Satu yang hidupnya suka sangat memuji-muji di mana semua orang dan benda sentiasa memberi erti. Orang begini saya lihat sentiasa disayangi.

Tapi ada juga yang gemar merungut tak henti-henti. Seakan semua benda tidak memberi kebaikan buat diri.

Individu begini pula selalu orang lain hindari. Apa kita nak jadi nanti. Pandai-pandailah pilih sendiri.

6. Kurangkan berharap

Ikhlaskan semua pemberian walaupun balasannya kadang tidak seberapa atau tiada.

Kita baik sebanyak mana pun sentiasa ada insan yang tak suka.

Selagi banyak mengharap balas atas segala usaha, semakin sakit jadinya hati saat diuji rasa.

7. Kurangkan kerja

Adalah satu tanggapan salah apabila menganggap bahawa lagi banyak kerja lagi banyak duit (rezeki) kita nanti. Lalu kita kerja dan kerja tak berhenti-henti.

Tak perasan satu masa anak sudah besar dan pasangan tidak lagi sekuat dulu.

Kita tahu apabila nak kerja dan bila nak luang masa berkualiti. Kita nak 'menang' dua-dua (anak dan pasangan) dan tidak mahu ada satu yang kita rugi.

8. Kurangkan rasa gemuruh (anxiety)

Nak hilangkan anxiety boleh cuba ikut pesanan Ustaz Wadi Anwar.

Yang dah lepas, kita belajar lupakan apa yang jadi. Yang akan datang jangan fikir begitu teliti.

Jadi manusia, kita cuma perlu berusaha sepenuh hati. Apa saja yang datang kemudian nanti, itulah kita punya rezeki.

Baik atau buruk sentiasa jadi rahsia yang sering menguji.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain