suria

Remaja perempuan ketagih internet, berjam-jam ‘main’ media sosial paling mudah alami kemurungan... Cegah sebelum terlambat!

Penggunaan media sosial berlebihan dikaitkan dengan punca kemurungan. -Gambar hiasan The Star

MASALAH kemurungan dalam kalangan remaja bukanlah perkara baharu malah ia semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sesetengah penyelidik menyifatkan masalah tersebut berpunca daripada penggunaan telefon pintar.

Menurut pakar psikiatri KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital, Datuk Dr Azhar Md Zain, peningkatan kadar kemurungan dalam kalangan remaja juga bertepatan dengan peningkatan populariti telefon pintar.

Remaja hari ini tidak mengenali dunia interaksi sosial yang tidak termasuk media sosial.

"Kedua-dua lelaki dan wanita muda menghabiskan banyak masa pada telefon pintar mereka," jelasnya.

Golongan remaja didapati mengalami masalah kemurungan sejajar dengan perkembangan telefon pintar. -Gambar hiasan The Star

Golongan remaja didapati mengalami masalah kemurungan sejajar dengan perkembangan telefon pintar. -Gambar hiasan The Star

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 juga menunjukkan, enam daripada tujuh remaja sekolah menengah di Malaysia adalah pengguna internet aktif.

Daripada jumlah itu, dua daripadanya mengalami ketagihan dengan pelajar tingkatan lima menunjukkan kadar ketagihan internet tertinggi iaitu 38 peratus, berbanding tingkatan satu pada 18 peratus.

Satu lagi kajian yang dilakukan Tabung Kecemasan Kanak-kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, melaporkan bahawa Malaysia menduduki tempat kedua di Asia pada tahun 2020 untuk buli siber dalam kalangan belia.

ARTIKEL BERKAITAN: Risau masalah mental ‘berjangkit’ kepada anak? Ibu bapa boleh ikut 5 panduan ini, elak diwarisi

Ia sekali gus membuktikan bahawa buli siber semakin menjadi masalah utama di negara ini.

"Penggunaan telefon pintar dan media sosial nampaknya berkait rapat dengan peningkatan kadar kemurungan dalam kalangan remaja.

"Walau bagaimanapun, ia lebih memberi kesan kepada remaja perempuan berbanding lelaki dan salah satu puncanya adalah kerana gadis menghabiskan lebih banyak masa bersosial di telefon pintar mereka.

"Ia termasuk menghantar mesej dan berinteraksi di media sosial," tambah beliau.

Datuk Dr Azhar merupakan pakar psikatri di KPJ Ampang Puteri.

Datuk Dr Azhar merupakan pakar psikiatri di KPJ Ampang Puteri.

Mengulas lanjut, Dr Azhar berkata, kanak-kanak lelaki juga menghantar mesej dan menggunakan media sosial, tetapi lebih cenderung menggunakan telefon pintar mereka untuk bermain permainan video.

"Kaitannya sudah ditemui antara penggunaan media digital yang sederhana dan berat dengan peningkatan kadar isu kesihatan mental serta kesejahteraan psikologi lebih teruk dialami remaja perempuan.

"Satu kajian mendapati bahawa kadar kemurungan juga sejajar dengan jumlah masa yang dihabiskan di media sosial," katanya.

Dalam kajian itu, beliau berkata, kanak-kanak perempuan yang menghabiskan enam jam atau lebih di media sosial sangat tidak berpuas hati berbanding mereka yang menghabiskan hanya 30 minit sehari di media sosial.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain