PUSAT beli-belah yang mempunyai pelbagai jenis kedai mahupun cawangan perniagaan ada kalanya boleh menyebabkan kita runsing untuk mencari destinasi yang ingin dituju. Namun melalui satu perkongsian di TikTok, warga maya didedahkan tentang fungsi aplikasi Google Maps yang dikatakan boleh mengatasi masalah sedemikian. Dalam video itu, seorang pemuda menunjukkan Google Maps mempunyai kebolehan untuk mengakses rakaman video dari kamera dan memaparkan navigasi secara live. Perkongsian asal di TikTok. Ternyata fitur itu sudah diperkenalkan sejak tahun 2021 dan masih ramai yang tidak mengetahui cara untuk memanfaatkannya. Ayuh kita lihat satu-persatu langkah untuk menggunakan navigasi live view di Google Maps yang sangat membantu agar anda tidak sesat. Pertama, buka aplikasi Google Maps anda yang sudah dikemas kini. Masukkan destinasi yang ingin dituju. Masukkan destinasi pilihan anda. Kemudian, tekan butang directions seperti yang ditunjukkan anak panah merah dalam gambar di bawah. Tekan butang 'directions'. Seterusnya, tekan mod perjalanan anda iaitu walking seperti yang ditunjukkan anak panah merah dalam gambar di bawah. Tekan butang mod perjalanan 'walking'. Tekan butang live view seperti yang ditunjukkan anak panah merah dalam gambar di bawah untuk memulakan navigasi. Tekan butang 'live view'. Halakan kamera telefon pintar kepada struktur bangunan di sekeliling anda, Google Maps akan cuba menentukan di mana lokasi anda secara tepat. Gunakan kamera telefon pintar anda untuk mengimbas bangunan sekeliling. Ikut navigasi yang ditetapkan Google Maps, perhatikan juga keadaan di sekeliling anda untuk memastikan persekitaran selamat sebelum meneruskan perjalanan. Google Maps 'live view' juga berguna ketika anda berada di lapangan terbang. Telefon pintar anda akan bergetar apabila anda akhirnya tiba ke destinasi. Sebagai makluman, penggunaan live view di Google Maps memerlukan pencahayaan yang terang dan anda perlu berada di kawasan terbuka, bukannya di dalam tempat tertutup seperti sebuah bilik. Selain itu, penggunaan live view di Google Maps akan 'menelan' kuasa bateri yang banyak daripada peranti anda. Oleh itu, anda disarankan untuk menggunakannya apabila perlu sahaja. Peranti anda juga haruslah disahkan sebagai ARCore iaitu kebolehan untuk memproses pengimejan realiti terimbuh (augmented reality). Selamat mencuba! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube