suria

Bapa cerita pengalaman umrah bawa anak autisme, siap kongsi 7 tip sebagai panduan di Tanah Suci - “Tak mudah namun tidak mustahil”

Mohd Haffiz bersama keluarga mengerjakan umrah pada 13 Ogos lalu.

MENGEMBARA atau travel bersama anak-anak yang masih kecil sememangnya satu cabaran yang besar buat ibu bapa, apatah lagi apabila melalui perjalanan memakan masa yang agak panjang.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak istimewa pula, boleh dikatakan cabaran yang bakal ditempuhi itu mungkin sekali ganda hebatnya.

Justeru, pasti ramai ibu bapa yang bimbang atau berasa susah hati memikirkan situasi yang bakal dilalui ketika travel kelak.

Menerusi satu hantaran di Facebook, seorang bapa berkongsi beberapa tip ketika dia dan keluarganya mengerjakan ibadah umrah bersama anak kecilnya yang menghidap autisme, baru-baru ini.

Menurut Mohd Haffiz Supai, dia mengakui pada mulanya perasaan bimbang tetap wujud kerana memikirkan pelbagai perkara memandangkan mereka turut menyertai jemaah lain di dalam rombongan umrah berkenaan.

umrah 3

Kenangan ketika menziarahi Masjid Nabawi.

"Ya... even kami sendiri pun macam-macam fikir sebelum gerak. Tapi Alhamdulillah orang sekeliling main peranan yang sangat penting. Itulah pentingnya awareness masyarakat tentang anak autisme," ujarnya kepada mStar.

Tambah Mohd Haffiz, anak keduanya, Fatiha Huwaina yang kini berusia enam tahun, didiagnos dengan ASD (Autism spectrum disorder), ADHD (Attention-deficit hyperactivity disorder) dan GDD (Global Delayed Developement).

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai tak tahu anak autisme boleh dapat layanan VIP di KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2... Siap ada bilik terapi sensori

"Kami pergi enam orang. Saya, isteri, anak sulung Fathia Humaira dan Fatiha Huwaina, termasuk datuk dan nenek mereka.

"Apa yang boleh saya kongsi dengan ibu bapa lain menerusi pengalaman ini, hanya kita yang paling faham tentang anak kita.

"Dan cuba berdamai dengan takdir. Don't be denial. Terima dengan hati yang terbuka. Syurga dah ada di depan mata, tapi ianya tak semudah yang disangka," ujarnya lagi.

umrah 2

Mohd Haffiz bersyukur perjalanan ibadah umrah mereka sekeluarga berjalan lancar.

Berikut adalah perkongsian pengalaman dan tip bagi ibu bapa yang bakal menunaikan umrah bersama anak yang berkeperluan khas:

1) Maklumkan kepada agensi pelancongan dan mutawif secara details tentang anak istimewa kita.

2) Maklumkan juga dalam group jemaah umrah, bimbang ada yang kurang selesa jika anak istimewa membangkitkan situasi kurang menyenangkan

3) Sila apply 'Butterfly Effect' di laman sesawang KLIA dua hari sebelum tarikh berlepas. Antara servis yang ditawarkan adalah calm room waktu di lapangan terbang, buggy dan bantuan daripada staf.

Lakukan perkara sama sebelum berlepas pulang ke Malaysia.

4) Waktu di lapangan terbang di Madinah, boleh cuba minta bantuan mutawif untuk dapatkan fast lane atas pertimbangan staf lapangan terbang.

5) Jika pergi bersama keluarga besar adalah lebih baik. Ahli keluarga boleh bergilir-gilir menjaga anak di hotel atau sama-sama membantu menjaga ketika umrah dan solat di masjid.

6) Jika ada trip ziarah, kaji dahulu sama ada sesuai atau tidak untuk membawa anak istimewa turut serta. Dalam hal ini, informasi daripada mutawif sangat membantu.

7) Buat persediaan mental dan fizikal secukupnya. Sememangnya ia bukan sesuatu yang mudah, namun ia juga tidak mustahil.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain