HAJAT di hati mahu mendirikan rumah tangga dengan lelaki bujang, namun siapa sangka, rupa-rupanya jodoh dengan si duda! Apa pun jika itu ketentuan-Nya, siapalah kita sebagai manusia untuk menolak takdir. Mendirikan perkahwinan dengan seseorang yang sebelum itu pernah 'dimiliki' oleh orang lain sememangnya banyak cabaran dan dugaannya. ARTIKEL BERKAITAN: Tak sabar nak kahwin? Bakal suami kena ‘lulus’ 14 perkara ini sebelum lafaz “aku terima nikahnya” Tiada masalah sekiranya mendapat pasangan yang memahami, namun dikhuatiri si wanita makan hati apabila situasi yang diharapkan bertukar menjadi sebaliknya. Buat kaum wanita, andai kata anda sedang mengenali hati budi seseorang bergelar duda, buatlah persediaan sewajarnya sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin dengan si dia. Berikut adalah beberapa perkara yang anda perlu semak terlebih dahulu sebagaimana pandangan yang dikongsikan seorang peguam syarie, Fahmi Ramli: 1) Ambil tahu sejarah penceraian Sekiranya si dia adalah duda yang berpisah dengan bekas isteri, perlu ambil tahu beberapa perkara. Sekiranya penceraian mereka secara fasakh, besar kemungkinan terdapat isu gagal memberi nafkah, pernah memukul pasangan atau berlaku curang Lelaki 'kaki pukul' juga menjadi antara sebab berlakunya penceraian. -Gambar hiasan 2) Berapa orang tanggungan Ambil tahu juga berapa bilangan anak dan bagaimana si dia menafkahi tanggungannya sebelum ini. Jika nafkah anak-anaknya tidak ditanggung, apa pula jaminan nafkah anda sebagai bakal isteri dan anak yang bakal lahir kelak? 3) Penyelesaian harta sepencarian Ini juga salah satu perkara yang perlu anda ambil tahu. Adakah si dia mempunyai harta sepencarian yang belum diselesaikan dengan bekas isteri? Bukan apa, bimbang anda fikir si dia akan menyediakan rumah, namun rupa-rupanya rumah tersebut bakal dijual kerana ia adalah harta sepencarian dengan bekas isterinya Bapa yang bertanggungjawab tidak akan lupa memberikan nafkah kepada anak-anaknya meskipun sudah bercerai. -Gambar hiasan 4) Tuntutan bekas isteri Kena ambil tahu juga adakah bekas isterinya membuat tuntutan mutaah, nafkah idah dan nafkah tertunggak. Jika belum, besar kemungkinan semua itu akan dituntut oleh bekas isteri jika berhak. Oleh itu sebagai bekas isteri, anda perlu bersedia menerimanya jika ini berlaku 5) Sejarah perkahwinan si dia Benar, perkara yang lepas jangan dikenang. Tapi penting juga untuk anda sebagai bakal isteri mengambil tahu sejarah perkahwinan si dia. Antaranya, sudah berapa kali si dia berkahwin? Kalau si dia pertama kali bercerai, berkemungkinan tidak perlu dibimbangkan sangat. Tapi jika anda sendiri adalah perkahwinannya yang ketiga atau keempat, wajarlah ambil tahu sebab-sebab penceraiannya sebelum ini. Risau juga berjumpa dengan lelaki yang sebenarnya bermasalah. Tidak salah malah tidak rugi pun untuk mengambil tahu perkara-perkara di atas sebelum menyesal kemudian hari. Sudah pastilah sebagai wanita, kita mahukan perkahwinan yang dibina nanti aman bahagia dan hanya sekali seumur hidup. Pendek kata, tepuk dada tanyalah selera. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube