BERNIAGA sambil berkongsi rezeki. Demikian konsep sebuah pasar raya mini di Sik, Kedah, yang menjadi tular di media sosial gara-gara tampil dengan idea 'rare' demi membantu meringankan beban perbelanjaan masyarakat setempat khususnya golongan B40. Menariknya, ia menawarkan set barangan memasak yang terdiri daripada ikan atau ayam bersama-sama bahan masakan lain seperti sayur serta rencah mengikut menu tertentu yang lebih berpatutan. Ikan dan makanan laut yang dijual pada harga yang sangat rendah. Berkongsi dengan mStar, pemiliknya yang enggan dikenali berkata, idea untuk menjual set barangan keperluan dapur itu timbul sewaktu negara berada di fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020. "Idea tercetus apabila terdapat golongan berpendapatan rendah dan mereka yang diberhentikan kerja tidak mampu untuk membeli barang keperluan secara pukal. "Contohnya, mereka tidak mampu untuk membeli telur sepapan atau beras satu beg atau 10 kilogram (kg). Jadi, kami membantu mereka dengan membuat set-set makanan keperluan yang membolehkan mereka membeli sekadar cukup untuk keperluan mereka sahaja. Barangan dijual dalam bentuk set memudahkan dan menjimatkan pelanggan. "Perkara Ini juga boleh mengelakkan pembaziran dan memudahkan mereka membuat bajet perbelanjaan. Contohnya set menu ikan 3 rasa ada seekor siakap serta bahan-bahannya. "Jadi pelanggan boleh jimat. Set menu ini akan bertukar-tukar.... contohnya esok set kari ayam, set cucur udang, set asam pedas ikan," katanya. Menurutnya, seiring dengan peningkatan harga barangan asas ketika ini, pihaknya memperkenalkan pula set ekonomi yang mendapat sambutan di luar jangkaan. ARTIKEL BERKAITAN: Barang naik harga, ini 10 tip shopping barang dapur! Nombor 9, 10 ramai malu nak buat tapi amat menjimatkan ARTIKEL BERKAITAN: Asyik terlebih belanja barang dapur? Ini 5 tip elak tak lari bajet setiap bulan "Set ni ada ayam seekor, beras sekilo, telur gred B 15 biji, minyak masak 1kg dengan harga RM20. Pendek kata, semua set yang kedai kami buat, semuanya bawah RM20. "Kami mengambil bahan mentah secara terus daripada pembekal utama secara pukal, jadi kos-kos orang tengah dapat dihapuskan seterusnya dapat menjual bahan-bahan mentah dengan harga murah," katanya. Saya bukanlah orang hebat, tapi mungkin inisiatif ini boleh menjadi inspirasi buat peniaga lain. PEMILIK AIMANQAWI MINI & FRESH MART Jelasnya lagi, disebabkan idea pasar raya mininya tular di media sosial, mereka mendapat maklum balas yang sangat positif daripada warga maya. "Terdapat permintaan dari seluruh negara untuk mendapatkan barang-barang dan set viral ini. "Jadi, untuk permulaan, kami merealisasikan hasrat mereka dengan mengadakan roadshow di seluruh negeri kedah berdasarkan kepada permintaan. Biasanya kami buat hebahan menerusi posting sebelum buat roadshow. Roadshow di beberapa daerah di Kedah mendapat sambutan ramai. "Alhamdulillah, ada pihak yang ingin turut sama membantu untuk bersama bersedekah. Mereka hubungi pihak kami dan luahkan hasrat untuk infaq. Kami sebagai orang tengah memegang amanah itu. "Syukur ada yang mahu 'mengumpul' pahala. Saya bukanlah orang hebat, tapi mungkin inisiatif ini boleh menjadi inspirasi buat peniaga lain. Secara tak langsung kita sama-sama meringankan beban mereka yang terkesan," akhirinya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube