suria

Tiba-tiba menjerit, meracau! Kaunselor dedah kes libatkan penghisap vape, tak tolak kesan terhadap mental

Pengguna vape cenderung mengalami masalah mental. -Gambar hiasan

MENCEGAH lebih baik daripada merawat.

Bagi perokok tegar, mereka merasakan peralihan kepada rokok elektronik atau vape adalah satu kaedah pencegahan yang terbaik.

Namun berdasarkan laporan kesihatan, terdapat beberapa kes kronik yang berlaku terhadap pengguna vape antaranya paru-paru mengecil dan berair sehingga terpaksa ‘ditebuk’ supaya kesihatan kembali pulih.

Terkini, seorang petugas kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang ingin dikenali sebagai AyieTDF mendedahkan dia telah menerima empat kes berkaitan pengguna vape yang mengalami masalah kesihatan mental.

ARTIKEL BERKAITAN: Kaki vape alami cirit-birit, nafas pendek? Ini tandanya penyakit Evali mula menyerang, kenali 9 simptom sebelum terlambat

ARTIKEL BERKAITAN: Kajian terbaharu dedah vape sebabkan zakar mengecut! Ubah tabiat, tinggalkan segera e-rokok

“Dua kes di hospital yang sebelum ini dan dua lagi di hospital yang saya bertugas sekarang.

“Keempat-empat kes ini similar saja keadaan pesakit, daripada awal masuk wad sehinggalah mereka keluar. Senang cakap bahasa orang awam adalah 'gila',” ujarnya menerusi perkongsian di halaman TikTok.

Merupakan seorang kaunselor penyakit berjangkit, menurut Ayie, pihaknya hanya mengetahui punca sebenar yang dialami pesakit, selepas melakukan pemeriksaan dan membuat penelitian kesihatan.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan sekiranya terdapat unsur khianat terhadap pesakit terlibat yang sering menggunakan vape.

Segelintir remaja yang masih bersekolah sudah berani menghisap vape. -Gambar hiasan

Segelintir remaja yang masih bersekolah sudah berani menghisap vape. -Gambar hiasan

“Apabila korek-korek baru tahu puncanya adalah daripada vape dan berkemungkinan (berpunca) daripada sesetengah perisa yang digunakan atau memang vape itu sendiri yang ada unsur khianat atau sesuatu.

“Kadang-kadang ada orang letak benda tak sepatutnya dalam vape supaya dia ketagih dan sebagainya tapi disebabkan overdose, dia dimasukkan ke hospital,” tambahnya.

Berkongsi pengalaman berdepan dengan pesakit terlibat, jelas Ayie, keempat-empat individu tersebut sentiasa meronta-ronta dan menjerit sepanjang berada di dalam wad.

Bukan itu sahaja, kesemuanya menunjukkan perlakuan agresif sehingga perlu diberikan ubat penenang.

Namun, ubat penenang yang diberikan tidak dapat memberi tindak balas pada tubuh.

Terdapat pesakit yang terpaksa ditempatkan di wad psikatri kerana bertindak agresif. -Gambar hiasan

Terdapat pesakit yang terpaksa ditempatkan di wad psikatri kerana bertindak agresif. -Gambar hiasan

“Ubat penenang tu pun tidak berfungsi, dah bagi dua tiga jenis ubat penenang mengikut rujukan daripada psikatri... tapi tetap tiada perubahan.

“Sampai tahap perlu ikat kedua-dua tangan dan kaki serta bahagian dada kerana dia terlalu kuat untuk lawan walaupun dipegang ramai-ramai.

“Keadaan wad memang bising, (pesakit) menjerit-jerit dan (bercakap) merapu-rapu... perkara yang kita tak faham dan tiada di situ,” jelasnya lagi.

Bukan itu sahaja, pesakit yang mengalami masalah kesihatan mental ini turut menunjukkan reaksi ketawa dan menangis secara tiba-tiba.

Justeru, Ayie menyeru kepada masyarakat khususnya generasi muda untuk menghentikan tabiat menghisap vape kerana ia tidak memberi manfaat kesihatan.

“Vape sebenarnya tak ada kebaikan... kalau orang cakap baik sikit daripada rokok dan sebagainya, itu adalah mitos.

“Apatah lagi yang berlaku khianat, kawan-kawan meletakkan sesuatu di dalam perisa tertentu untuk dicuba dan sebagainya... mula-mula cuba kemudian mudarat pada diri sendiri sampai masuk hospital.

“Rawatan bukan ambil masa sehari dua, ada pesakit (sampai) dua bulan di wad sehingga akhirnya masuk ke wad psikiatri dan apabila keluar, dia dah tak ingat apa yang berlaku,” katanya lagi.

Malah katanya, tindakan tersebut tidak berbaloi sekiranya pesakit boleh melakukan perkara yang membahayakan nyawa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain