KULIT wajah tanpa cela dan bertona sekata merupakan idaman setiap orang terutama kaum wanita. Namun mencuci dengan pembersih wajah semata-mata tidak dapat memberikan kesan yang diingini. Disebabkan itu, ramai yang cenderung mengamalkan produk-produk kecantikan yang terdapat di pasaran sehingga akhirnya menderita akibat kerosakan buah pinggang. Jus saderi boleh diamalkan setiap hari. -Gambar Facebook Dr Rizal Abu Bakar. Bagi anda yang sayangkan buah pinggang, cubalah kaedah penjagaan kulit wajah secara semula jadi seperti perkongsian pakar otak dan kesihatan, Dr Rizal Abu Bakar. Bukan sahaja kulit cantik bersih, malah dapat membantu memudarkan parut jerawat. “Boleh amalkan jus saderi. Tumbuhan ini mempunyai kandungan air yang tinggi untuk menghidrasikan kulit dan seimbangkan sebum. “Ia ibarat filter dalam tubuh kita. Tapis keluar bahan bahan penyebab radang dalam tubuh kerana radang yang tinggi adalah punca sakit sendi dan jerawat,” ujarnya. Jus saderi boleh dicampurkan dengan pelbagai jenis buah-buahan yang diminati. Tambahnya, jus yang dihasilkan boleh dicampur dengan buah-buahan lain seperti lemon, kiwi, nanas mahupun epal bagi menghasilkan rasa yang istimewa sekali gus mengurangkan bau daripada saderi. “Kisar bahan tersebut dan minum sekali dengan seratnya pada waktu pagi ketika perut kosong. “Jus yang dihasilkan menggunakan saderi dapat membantu mencuci dan meningkatkan sistem usus. Apabila usus bersih, kesannya boleh dilihat pada kulit. “Bukan sahaja bagus untuk kulit, ia juga dapat mengurangkan keguguran rambut dan menguatkan daya ingatan,” katanya. Pada masa sama, mood dapat distabilkan, melegakan sakit badan, migrain, turunkan berat badan dan mengurangkan simptom insomnia. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube