suria

Jangan main beli saja! Guna 5 panduan ini untuk bantu anda pilih ayam segar di pasar

Membeli ayam di pasar juga memerlukan kemahiran. -Gambar hiasan

AYAM yang segar boleh menentukan kualiti lauk atau hidangan yang anda masak.

Namun, bagi sesetengah individu, memilih ayam mentah yang segar di pasar dirasakan amat sukar memandangkan kesemuanya kelihatan sama.

Jadi, apakah faktor yang boleh diambil kira untuk menentukan tahap kesegaran ayam?

Jangan risau, ayuh kita ikuti perkongsian daripada seorang bekas tukang masak tentang perkara perlu diberi perhatian ketika memilih ayam.

Petua memilih ayam segar:

1) Warna

Ayam yang kulitnya berwarna putih kemerah-merahan adalah ayam yang segar. Jika ayam itu pucat atau warna kebiru-biruan, ayam tersebut kebiasaannya sudah diletakkan bahan pengawet formalin dan disejuk beku.

Ayam segar dan yang sudah lama boleh dibezakan sekiranya mempunyai ilmu. -Gambar hiasan

2) Tekstur

Ayam yang segar apabila ditarik kepaknya ke belakang akan kembali ke posisi asal. Tetapi jika ia tidak segar, kepaknya akan terkulai layu apabila ditarik.

Isi ayam yang segar apabila ditekan akan terasa empuk dan kembali ke bentuk asal apabila dilepaskan. Tetapi sekiranya isi ayam yang ditekan itu tenggelam, ia adalah ayam lama.

Selain itu, sebagai nota tambahan, ayam yang kenyal kebiasaannya diletakkan formalin. Manakala ayam yang kelihatan bengkak kebiasaannya telah disuntik.

3) Darah

Apabila ayam dilihat mempunyai banyak darah atau cecair berdarah, kebiasaannya adalah ayam yang telah dibekukan dan dicairkan semula.

Ayam segar tidak sepatutnya mempunyai 'air darah' yang banyak.

4) Bau

Ayam yang segar tidak akan mempunyai bau yang busuk atau hanyir. Elakkan membeli ayam yang berbau hanyir.

5) Lalat

Sekiranya ada lalat yang menghurungi atau hinggap pada ayam, kebiasaannya ayam itu tidak lagi segar.

Elakkan membeli di gerai ayam yang mempunyai banyak lalat.

Semoga bermanfaat! - Rahsia Rumah Tangga

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain