suria

Wanita kongsi rahsia bil elektrik RM51 sebulan... Lima isi rumah tetap jimat, siap ada penapis air

Penggunaan elektrik yang efisien dapat membantu mengurangkan pembayaran bil. -Gambar hiasan

BIL elektrik merupakan antara komitmen utiliti yang sering membebani fikiran pemilik kediaman.

Kehidupan selesa di rumah dengan pelbagai peralatan canggih bermakna banyak juga tenaga elektrik yang akan digunakan.

Kini anda tidak perlu lagi risau kerana seorang wanita dikenali sebagai Aishahumaira Idris berkongsikan beberapa tip penjimatan tenaga elektrik.

Ia dikatakan berkesan, meskipun anda mempunyai banyak gajet di rumah.

Menurut Aishahumaira, bil elektrik kediamannya hanya berjumlah RM51 sebulan. Sebagai makluman, dia tinggal di rumah dengan penghuni seramai lima orang termasuk suami dan anak-anaknya.

"Rumah saya ni macam rumah orang lain juga, ada televisyen, WiFI, peti ais, mesin basuh, pendingin hawa, pemanas air dan sebagainya," ujar Aishahumaira.

Ayuh kita ikuti petua penjimatan elektrik yang diamalkan Aishahumaira.

Bil elektrik rumah Aishahumaira.

1) Elemen pemanas (Heating element)

Formula yang harus diingat, setiap alatan yang menghasilkan haba seperti pemanas air dan seterika akan menelan banyak tenaga elektrik.

Oleh itu, bagi dispenser air, Aishahumaira hanya mengaktifkan mod air panas (hot water) apabila ada tetamu di rumah. Pada lain waktu, mod air panas akan ditutup dan hanya air biasa yang digunakan.

"Saya dan keluarga jarang minum air panas, jadi cuma aktifkan apabila perlu sahaja," kata Aishahumaira.

Seterusnya, Aishahumaira juga banyak membeli pakaian ironless, bermaksud baju dan tudung yang tidak perlu diseterika dan boleh terus dipakai selepas dicuci.

Kurang penggunaan seterika bermakna sedikit penggunaan tenaga elektrik anda, jimat!

Butang mod air panas yang boleh ditutup pada dispenser air.

2) Tarif elektrik mengikut waktu

Tahukah anda, penggunaan elektrik pada waktu puncak iaitu antara pukul 12 tengah hari hingga 6 petang dikatakan akan dikenakan tarif lebih tinggi berbanding di luar waktu puncak.

Oleh itu, Aishahumaira hanya akan membasuh baju dan seterika pakaian pada waktu malam iaitu antara pukul 10 malam hingga 8 pagi hari berikutnya.

3) Alatan elektrik mesra tenaga

Sangat digalakkan untuk membeli peralatan elektrik yang energy saver, walaupun lebih mahal tetapi berbaloi dalam jangka masa panjang.

Sebolehnya cari pendingin hawa dan peti sejuk yang ada pengiktirafan lima hingga empat bintang daripada segi penggunaan mesra tenaga.

4) Suhu pendingin hawa

Cukup sekadar suhu antara 24 hingga 25 darjah Celcius, itu juga sudah selesa.

Tak perlu sampai suhu minimum 16 darjah Celcius, nanti compressor terpaksa bekerja keras dan banyak tenaga elektrik yang perlu digunakan.

5) Jika tidak guna, matikan

Lampu dan kipas kalau tidak ada sesiapa yang duduk di situ, tutup. Begitu juga dengan peralatan elektrik yang lain.

Perkara ini nampak mudah, tetapi ia perlu diamalkan secara berterusan baru kelihatan hasilnya.

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain