suria

Elak pilih yang cantik semata-mata... Ini tip bantu ibu bapa beli beg sekolah anak

Pemilihan beg sekolah yang betul perlu demi kesihatan anak. -Gambar hiasan, The Star

PENGGAL persekolahan baharu akan bermula tidak lama lagi.

Ibu bapa pastinya bersemangat membeli kelengkapan sekolah untuk anak-anak seperti beg galas bagi membawa buku dan alat tulis.

Namun ibu bapa perlulah berhati-hati dalam memilih beg sekolah yang bersesuaian untuk anak.

Ini kerana jika tidak kena dengan postur badan si kecil, ia boleh membawa kemudaratan di kemudian hari.

Tahukah anda, pemilihan beg yang salah boleh menyebabkan sakit tengkuk serta masalah tulang belakang seperti skoliosis dan kyphosis.

Ayuh kita ikuti perkongsian pakar fisioterapi dan pemulihan, Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan tentang tip memilih beg sekolah yang betul untuk anak.

Cara pilih beg yang betul:

1) Jenis

Mempunyai dua tali penyandang, selain penyandang perlu mempunyai pelapik span. Lebih digalakkan beg galas dengan penyandang yang mempunyai klip penyambung di bahagian hadapan.

2) Dalaman

Mempunyai pembahagi ruang atau jalur pengikat, supaya buku boleh disusun rapi serta diletakkan berhampiran ruang yang dekat dengan tubuh pemakai.

3) Saiz

Bahagian atas beg mesti berada di paras belikat dan bahagian bawah hanya berada di lengkung pinggang. Jika bahagian bawah mencecah punggung, bermakna beg terlalu besar.

Teknik menggalas beg yang perlu dielakkan.

Cara galas yang betul:

1) Kenal pasti berat

Berat beg dan isinya tidak melebihi 15 peratus daripada berat badan pemakai.

Misalnya berat badan pemakai adalah 20 kilogram (kg), maka berat beg mestilah tidak melebihi 3kg.

Jika ada muatan lebih, bawa di tangan dan dakap pada dada.

2) Tali penyandang

Tali penyandang dipendekkan sehingga beg rapat ke tubuh dan tidak londeh. Ini untuk memastikan beban dapat ditampung dengan baik, selain mengelakkan beg berhayun semasa berjalan atau berlari.

Seterusnya elakkan daripada menjinjing atau menggalas beg dengan hanya sebelah tali penyandang. Ini untuk mengelakkan bebanan tertumpu hanya pada sebelah bahagian tubuh.

Bebanan tidak simetri boleh menyebabkan skoliosis (tulang belakang bengkok).

Semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain