PELBAGAI teknik boleh diamalkan seseorang bagi menjaga diet atau pemakanan demi kehidupan yang lebih sihat. Misalnya mengehadkan bahagian (portion) nasi dan mengurangkan lauk atau kuah yang diambil. Tidak kurang juga mereka yang nekad 'meratah' nasi putih kosong tanpa sebarang hidangan sampingan kerana mahu mengurangkan pengambilan kalori. Namun, melalui perkongsian seorang pakar diet, Hindari Lonjakan di laman TikTok, diterangkan perbandingan antara nasi putih kosong dan nasi berlauk yang membuatkan ramai terkejut. Menurut Hindari, nasi putih kosong sebenarnya mempunyai lebih banyak mudarat berbanding nasi berlauk yang seimbang. Kandungan gula dalam darah perlu dipantau secara berkala. -Gambar hiasan Menerusi video itu, bagi membuktikan teorinya, Hindari menjamah nasi padang yang terdiri daripada telur rebus, daging rendang dan sayur. Seteleh beberapa jam berlalu, Hindari menggunakan alat khas untuk memeriksa kandungan gula dalam darahnya, bacaan menunjukkan kenaikan gula sebanyak 118 miligram per desiliter (mg/dL). Hindari seterusnya memaparkan pula bacaan kandungan gula dalam darahnya selepas makan nasi putih kosong, kenaikan sebanyak 149 mg/dL, lebih tinggi berbanding nasi berlauk. "Apabila kita makan nasi berlauk yang seimbang seperti nasi padang, kita akan dapat sekali serat daripada sayur-sayuran. Tidak dilupakan juga protein serta lemak daripada telur dan daging. "Nasihat saya, jika hendak makan karbohidrat, pastikan dalam hidangan anda itu terdapat juga lemak, protein dan serat. Barulah seimbang. "Sebagai peringatan, kandungan gula dalam darah yang normal dua jam selepas makan seharusnya di bawah linkungan 140 mg/dL," jelas Hindari. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube