suria

Alat elektrik rosak, anda mungkin terkena renjatan! ‘Wajib’ buat ujian di kotak fius sebulan sekali

Kotak fius elektrik ada di setiap rumah atau premis. -Gambar hiasan

SETIAP rumah pasti mempunyai kotak fius yang berfungsi mengawal aliran elektrik.

Di dalam kotak fius ini terdapat satu sistem dinamakan Pemutus Litar Bocor Kebumi (ELCB) yang bertindak mematikan bekalan elektrik sekiranya berlaku kebocoran arus pada mana-mana bahagian di dalam rumah.

Melalui perkongsian Amal Combination di laman Facebook, didedahkan bahawa fungsi ELCB ini perlu diuji sebulan sekali untuk memastikan arus yang bocor berjaya dibawa ke bumi melalui wayar pengebumian.

Jika ELCB gagal berfungsi ketika berlaku litar pintas, ia boleh menyebabkan kerosakan pada peralatan elektrik dan merenjat mereka yang menggunakan peralatan tersebut.

Mari kita lihat bagaimana cara untuk menguji fungsi ELCB ini, mudah sahaja. Ingat, lebih baik mencegah sebelum berlakunya tragedi!

Ilustrasi penerangan yang disertakan Amal Combination.

Langkah-langkah:

1) Pergi ke kotak fius, tekan butang 'T' atau nama penuhnya 'Test Trip'. Butang ini kebiasaannya terletak di hujung kanan bersama dengan peranti ELCB dan berwarna biru.

2) Jika diperhatikan pada peranti ELCB itu sendiri, ada tertulis dalam bahasa Inggeris, 'Push Monthly' yang bermaksud ia perlu ditekan sebulan sekali sebagai satu kaedah ujian.

3) Sekiranya ELCB berfungsi dengan baik, keseluruhan rumah anda akan 'blackout' atau terputus bekalan elektrik apabila butang 'T' ditekan.

4) Kalau sebaliknya iaitu rumah anda masih mempunyai bekalan elektrik setelah butang 'T' ditekan, itu bermaksud peranti ELCB anda bermasalah.

5) Perkara ini sangat berbahaya kerana rumah anda tidak mempunyai perlindungan daripada litar pintas. Dapatkan segera juruelektrik bertauliah untuk membuat pemeriksaan.

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain