suria

Kena terima kenyataan tak sesuai mandi manda di laut pantai timur... Lebih banyak bahaya daripada seronok!

Keselamatan ketika berada di pantai perlu diutamakan. -Gambar hiasan

BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan insiden menyayat hati apabila seorang bapa dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu ketika sedang berenang.

Insiden sedemikian bukanlah yang kali pertama terjadi dan besar kemungkinan bukan juga yang terakhir.

Tahukah anda, pusat peranginan di sepanjang persisiran negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang adalah zon bahaya untuk bermandi-manda khususnya pada musim Monsun Timur Laut.

Amaran yang diberikan itu bersebab terutamanya apabila melihat daripada sudut geografi.

Bagi penerangan lanjut, ayuh kita ikuti perkongsian Pakar Oseanografi dan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir.

Cerun di bawah air yang ramai tidak perasan ketika bermandi-manda di pantai. -Gambar hiasan

1) Faktor muka bumi

Penyelidikan yang dijalankan di kawasan pantai khususnya di Terengganu mendapati faktor muka bumi adalah antara bahaya utama yang menanti pengunjung.

Pada mata pengunjung, air laut di pantai itu mungkin kelihatan cetek dan selamat untuk bermandi-manda.

Tetapi tanpa diketahui mereka, kawasan landai di pantai itu hanyalah beberapa meter panjang, di hadapannya adalah cerun menegak ke bawah yang menyebabkan paras air menjadi dalam secara mengejut.

Sesiapa yang tidak bersedia dan tidak mahir berenang, mereka akan segera diselubungi rasa panik dan kemudiannya lemas.

Perkara ini dapat diperhatikan pada penyelidikan di Pantai Rhu 10, ketika air surut, terdedah kawasan pantai yang sangat curam seperti bukit sedangkan ia tidak terlihat pada mata kasar ketika air pasang.

Ini kerana Pantai Timur terletak berhadapan dengan laut terbuka iaitu Laut China Selatan yang keluasannya berjuta-juta kilometer persegi.

2) Keadaan cuaca tidak menentu

Keadaan cuaca yang tidak menentu terutamanya ketika fasa peralihan Monsun Timur Laut boleh mengundang pelbagai bencana yang tidak diingini.

Justeru, ibu bapa disarankan dan digesa untuk memilih percutian riadah air yang lebih selamat seperti di kolam renang atau taman tema air.

Ataupun sekiranya anak terlalu teringin untuk bermandi-manda di laut, sebagai alternatif, boleh pilih kawasan peranginan di negeri Pantai Barat Malaysia seperti Lumut (Perak), Port Dickson (Negeri Sembilan) dan Langkawi (Kedah).

Turut boleh dijadikan pilihan adalah pulau-pulau yang terlindung dari berhadapan terus dengan laut terbuka.

3) Tenaga ombak sangat kuat dari kawasan tengah Laut China Selatan

Ombak yang kuat dari tengah Laut China Selatan sering membadai kawasan pantai di negeri pantai timur yang menjadikan aktiviti berenang sangat tidak digalakkan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain