suria

Menjelang musim panas... 7 perkara anda boleh buat untuk sejukkan rumah tanpa perlu on aircond 24 jam

Terdapat cara 'bajet' untuk menyejukkan rumah. -Gambar hiasan

MEMASUKI akhir bulan Februari bermakna akan berlaku peralihan ke musim panas setelah tamatnya musim Monsun Timur Laut.

Iklim panas pasti membuatkan rumah membahang dan penghuninya berasa tidak selesa, seakan-akan berada dalam ketuhar pula .

Hendak hidupkan penyaman udara sepanjang masa, risau bil elektrik akan melambung tinggi.

Jangan risau, sebenarnya ada tip alternatif untuk menyejukkan rumah anda seperti yang dikongsikan Public Health Malaysia di laman Facebook.

Mudah dan yang paling penting, jimat!

Rumah yang menggunakan lampu LED akan terasa lebih santai. -Gambar hiasan

1) Lampu

Sudah tiba masanya untuk anda beralih ke lampu diod pemancar cahaya (LED) dari lampu biasa iaitu pendarfluor.

Mentol LED adalah lebih efisien penggunaan tenaganya, tidak menghasilkan banyak haba dan lebih terang.

2) Langsir

Gunakan langsir jenis 'blackout' di rumah yang akan menapis banyak pancaran matahari dan ultraviolet daripada memasuki rumah, sekali gus menjadikan kediaman lebih sejuk.

3) Peralatan elektrik

Setiap peralatan elektrik seperti komputer, televisyen dan pemanas air yang beroperasi akan mengeluarkan haba.

Oleh itu, sekiranya tidak digunakan, matikan peralatan elektrik tersebut. Rumah anda akan terasa lebih nyaman.

4) Susunan perabot

Kurangkan perabot dan kemas rumah, automatik kediaman anda akan menjadi lebih berangin.

Kipas di rumah memainkan peranan penting. -Gambar hiasan

5) Kipas

Bersihkan habuk pada kipas agar ia dapat berputar dengan lebih efisien dan pergerakan udara lebih lancar.

Selain itu, sesetengah kipas siling mempunyai fungsi menukar arah pergerakan kipas. Pastikan kipas bergerak melawan arah jam (counterclockwise), supaya angin bertiup dari atas ke bawah dan memberi kesan penyejukan.

Seterusnya, pada waktu malam, buka tingkap di depan dan belakang rumah. Pada tingkap belakang, halakan kipas ke luar, ini supaya udara panas di dalam rumah dapat disedut keluar.

Perkara ini mewujudkan tekanan negatif di dalam rumah, bermaksud angin sejuk dari luar akan ditarik masuk ke dalam menerusi tingkap depan kediaman. Memang sejuk jadinya!

6) Dapur

Ketika musim panas ini, elakkan daripada memasak makanan yang berat-berat di rumah. Terutamanya masakan yang memanggang dan membakar.

7) Basahkan lantai

Jirus air pada permukaan lantai di luar rumah pada waktu petang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain