suria

Didik anak jangan boros duit raya... Ajak menyimpan di tiga tempat ini, berbaloi untuk masa depan!

Terapkan sifat berjimat cermat dalam diri anak-anak.

SEBUT sahaja Hari Raya, antara yang paling gembira tentunya golongan kanak-kanak kerana mereka bakal menerima duit raya.

Dek kerana perubahan zaman, wang terkumpul hasil daripada sumbangan duit raya ada kalanya boleh mencecah ratusan dan ribuan ringgit.

Namun wajarkah duit yang diperoleh itu digunakan untuk tujuan membeli mainan dan sebagainya?

Justeru ibu bapa perlu bijak membantu mengurus dan merancang masa depan kewangan anak-anak dengan mendepositkan atau membuat pelaburan menggunakan duit tersebut.

Berikut ialah tiga tabung simpanan yang boleh digunakan untuk menyimpan wang anak-anak agar tidak disalah guna.

Kanak-kanak begitu teruja untuk menerima wang diberikan sempena hari raya.

1. Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)

Anda boleh membuat simpanan anak-anak menerusi tabung simpanan SSPN-i Plus untuk tujuan pendidikan tinggi.

Akaun ini bersesuaian untuk menanggung kos pembelajaran anak-anak yang meneruskan pembelajaran di peringkat menara gading kelak.

Dengan hanya serendah RM20 sahaja, anda sudah boleh membuka akaun tabung tersebut.

Malah, kadar dividen yang diperoleh setiap tahun adalah sebanyak empat peratus.

2. Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB)

Anda boleh membuka akaun ASB 3 Didik bagi anak berusia enam bulan dengan minimum RM100 sebagai deposit.

Malah, ia sememangnya tabung simpanan khas untuk pendidikan anak-anak.

Kadar dividen yang diterima apabila menyimpan di ASB 3 Didik adalah sekitar empat hingga enam peratus setiap tahun.

Kanak-kanak banyak menerima duit dalam jumlah yang banyak pada hari raya.

3. Tabung Haji (TH)

Antara akaun simpanan boleh dibuka sejak anak-anak masih kecil adalah daripada TH dengan jumlah deposit serendah RM10 sebagai permulaan.

Nilai dividen dan bonus diberikan adalah tinggi bagi setiap tahun jika menyimpan di TH.

Bukan sahaja ia merupakan perbankan patuh syariah, malah zakat (zakat wang simpanan) juga akan ditolak siap-siap.

Kata orang, melentur buluh biarlah daripada rebungnya jadi adalah lebih baik sekiranya ibu dan bapa menerapkan sifat berjimat cermat dalam diri anak-anak lebih awal.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain