KEMERIAHAN Aidilfitri tentunya tidak lengkap tanpa juadah istimewa seperti ketupat, lemang dan rendang. Maka tidak hairanlah hidangan ini menjadi tumpuan setiap kali aktiviti kunjung-mengunjungi rumah saudara-mara dan kenalan. Dalam keghairahan kita menikmati makanan yang menyelerakan, tidak dilupakan buat mereka yang menghidap penyakit diabetes supaya berhati-hati dalam pemilihan makanan ketika berhari raya. Ini kerana ketidakseimbangan pengambilan diet ketika lebaran seperti pengambilan berlebihan makanan tinggi karbohidrat, manis dan berlemak boleh mengundang kegagalan mengawal paras glukosa dalam darah. Diabetes merupakan penyakit yang berisiko. Justeru, memantau dan cakna tahap kesihatan diri adalah perlu bagi mengurangkan risiko komplikasi yang teruk selepas musim perayaan ini. Menurut perkongsian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat sembilan tip kekal sihat bagi pesakit diabetes sempena Aidilfitri: 1. Hadkan pengambilan makanan dan minuman yang manis dan berlemak. 2. Makan dalam saiz hilangan atau kuantiti kecil. 3. Pilih makanan tinggi serat termasuk sayur-sayuran dan ulam-ulaman untuk mengelakkan sembelit. 4. Pilih makanan rendah kalori seperti makanan kurang berminyak, lemak dan santan. 5. Elakkan makanan yang tinggi kandungan garam seperti kerepek. 6. Pilih buah-buahan segar sebagai snek atau pencuci mulut. 7. Minum air kosong berbanding minuman berperisa seperti air berkarbonat atau minuman yang manis. Penyakit kencing manis boleh menyebabkan pelbagai penyakit lain jika tidak dikawal. 8. Pastikan ambil ubat seperti yang disarankan oleh doktor. 9. Sentiasa lakukan aktiviti fizikal mengikut kesesuaian dan kemampuan. Bagaimanapun, tidak salah sekiranya kita meraikan hari raya ini dengan menikmati pelbagai makanan yang hanya boleh didapati setahun sekali sahaja. Tapi perlu diingatkan tidak kira apa juga yang dinikmati semasa beraya, penting untuk menikmatinya secara sederhana, makan berpada-pada dan berhenti sebelum kenyang! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube