PERNAHKAH anda menahan kencing dalam tempoh lama sehingga merasakan seolah-olah pundi kencing akan meletup? Sekiranya mengabaikan isyarat amaran daripada badan dengan menahan air kencing terlalu lama, ia sebenarnya boleh menyebabkan kerosakan pada pundi kencing. Seperti yang diadukan seorang wanita di X ini, kawasan sekitar kemaluannya terasa sakit dan berasa tidak puas ketika membuang air kecil. Menurut wanita itu, rasa ketidakselesaan tersebut mula dirasai sejak dia menahan kencing dalam perjalanan pulang dari kampung dalam tempoh yang lama. Seorang wanita terpaksa menahan kencing dalam kesesakan lalu lintas. -Gambar hiasan Ia disebabkan wanita tersebut tidak dapat membuang air kecil kerana dikatakan berlaku kesesakan di setiap hentian R&R (Rehat dan Rawat). Tahukah anda amalan sering menahan diri daripada membuang air kecil berisiko mengalami komplikasi kesihatan terutamanya pada saluran kencing seperti: 1. Jangkitan saluran kencing (UTI) atau turut dikenali sebagai kencing kotor. 2. Pundi kencing mengalami atrofi dan lama-kelamaan mungkin mengalami incontinence (hilang kawalan pundi kencing). Lebih parah apabila menahan kencing selama 10 jam atau lebih, anda mungkin mengalami urinary retention, yang bermaksud otot di pundi kencing tidak akan dapat berehat. Ini boleh menyebabkan pundi kencing anda pecah kerana menahan diri daripada membuang air kecil, menurut Hello Doktor. Elakkan diri daripada menahan kencing dalam tempoh lama. Selain itu, terdapat empat gejala menunjukkan masalah jangkitan seperti berikut: 1. Rasa terbakar semasa membuang air kecil 2. Kerap membuang air kecil 3. Kebocoran (tidak dapat menahan) air kencing 4. Darah di dalam air kencing Dalam pada itu, anda dinasihatkan agar menghentikan perbuatan menahan kencing demi kesejahteraan kesihatan diri. Adalah lebih baik sekiranya anda cuba mengosongkan pundi kencing anda apabila perlu tidak kira sesibuk mana atau di mana pun anda berada. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube