suria

Budak 2 tahun terang hati, cepat ingat rangkap pantun! Bapa kongsi petua kuatkan daya ingatan anak, kena makan ikan salmon

Kepetahan Raja Dafina mencuri perhatian ramai di media sosial.

KEPETAHAN seorang kanak-kanak berusia dua tahun ketika berbual dengan bapanya membuatkan ramai terpegun.

Manakan tidak, menerusi video tular dikongsikan Raja Faizul Raja Shahminan, si kecil itu dilihat begitu fasih menyebut perkataan-perkataan baharu seperti ikan tenggiri dengan jelas.

Bukan itu sahaja, kanak-kanak bernama Raja Dafina Raja Faizul itu juga mempunyai daya ingatan yang kuat apabila mampu mengulangi rangkap pantun yang diungkapkan bapanya.

Ketika dihubungi mStar, Faizul berkata dia mengamalkan beberapa kaedah dalam berkomunikasi dengan Dafina bagi memperkuatkan daya ingatannya.

"Masa dia makan, ibunya beritahu nama ikan yang dia makan tu, itu kali pertama dia tahu tentang ikan tenggiri. Kemudian apabila saya tanya semula selepas habis makan, dia boleh recall semula.

"Antara faktor yang mengasah daya ingatannya ialah saya kerap bertanya mengenai setiap apa yang ada depan mata kami berdua. Contohnya kalau kami bermain mainan jenis sayur-sayuran, saya akan tanya nama sayur.

Faizul merupakan bapa kepada tiga orang cahaya mata.

"Jadi apabila masa makan bersama-sama, saya akan beritahu Fina... inilah sayur yang kita main tadi. Begitulah juga cara nak bagi dia ingat tentang sesuatu yang baharu," katanya kepada mStar.

Menurut Faizul, 40, kaedah recall atau mengingat balik sudah dilatih sejak kanak-kanak itu mula bertutur pada usia satu tahun dua bulan.

Tambah Faizul yang merupakan seorang pencipta kandungan sepenuh masa, dia juga tidak membenarkan ketiga-tiga anaknya menggunakan gadget ketika makan.

Setiap perkara yang dibuat saya mulakan dengan berselawat ke atas Nabi SAW termasuklah ketika dodoikan anak tidur.

RAJA FAIZUL RAJA SHAHMINAN

BAPA

Selain itu, dia lebih memilih untuk mengajak anak-anaknya berbual dengan cara berkomunikasi dua hala.

"Saya memang tak bagi anak-anak main gadget jadi mereka memang lebih fokus apabila saya bercakap. Lagipun saya memang suka melayan apa saja yang anak-anak tanya selama ini.

"Kalau tak faham apa yang Fina cakap atau bunyinya sedikit pelat, saya minta dia ulang semula. Kalau main permainan atau tengok televisyen pun saya akan teman dan tidak biarkan dia berseorangan.

Faizul banyak meluangkan masa bersama anak-anaknya.

"Biasanya rutin harian kami adalah saya luangkan masa bermain dan bacakan buku untuk dia. Tapi bezanya, sambil membaca tu saya terangkan apa yang dibaca supaya dia mudah ingat dan kekal fokus," jelasnya lagi.

Selain itu, dia juga mempraktikkan kaedah mengajar yang sama kepada abang dan kakak Fina, Raja Muhammad Mikael dan Raja Farhana kepada Fina sewaktu mereka masih kecil lagi.

Selain itu Faizul berkata memilih untuk menggunakan cara berpantun supaya anak-anaknya lebih berminat dan cepat untuk menghafal sesuatu yang diajarkan.

"Setiap perkara yang dibuat, saya mulakan dengan berselawat ke atas Nabi SAW. Termasuklah ketika dodoikan anak tidur, saya akan alunkan selawat dan berpantun menggunakan kisah sejarah Nabi kepada mereka.

"Sebenarnya kanak-kanak akan ingat apa yang kita cakapkan sewaktu mereka separa sedar. Jadi mereka dapat menjawab semula sekiranya ditanya mengenai soalan-soalan berkenaan apa yang diceritakan malam sebelumnya.

Ahli keluarga Faizul.

"Macam tu juga saya buat dekat abang dan kakaknya Fina. Itu yang membuatkan abang dia suka berpantun sampai sekarang dengan menggunakan pembayang berkisar sirah Nabi," ujarnya yang kini menetap di Kota Damansara, Selangor.

Tegas Faizul, membentuk tabiat pemakanan sihat kepada kanak-kanak penting untuk perkembangan otak dan tahap kesihatan baik.

Bercerita lanjut, dia yang sudah berumah tangga dengan isterinya, Ira Emran, 30 selama 12 tahun ini turut berkongsi mengenai pemakanan diberikan kepada anak-anaknya.

"Daripada segi pemakanan kepada anak-anak, saya tidaklah terlalu memilih. Cuma saya akan lebihkan makanan daripada sumber protein terutama sekali ikan. Saya akan pastikan anak-anak makan ikan salmon dua kali sebulan.

"Selain itu, saya juga masakkan ikan siakap, tenggiri dan ikan bilis goreng kepada mereka. Biasanya saya akan masak sendiri. Saya hanya gunakan garam, lada hitam dan minyak dalam kuantiti yang sedikit.

"Saya pastikan pengambilan gula anak-anak juga terkawal. Saya juga elakkan anak-anak daripada makan jajan atau makanan ringan tetapi tidaklah saya larang terus mereka makan," jelasnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain