PERJUANGAN Datuk Azizulhasni Awang di Olimpik Paris 2024 tetap menjadi kebanggaan rakyat Malaysia meskipun pelumba kelahiran Terengganu itu tidak meraih sebarang pingat. Mata penonton yang menyaksikan siaran langsung acara perlumbaan basikal juga pastinya turut tertumpu kepada parut yang jelas kelihatan di dada Azizulhasni. Pasti ramai masih ingat, namun mungkin juga ada yang tidak tahu bahawa Azizulhasni sebenarnya pernah menjalani pembedahan jantung terbuka di Hospital Epworth Richmond, Melbourne, pada tahun 2022. Pembedahan itu terpaksa dilakukan selepas Azizulhasni disahkan menghidap masalah jantung jarang ditemui atau lebih dikenali sebagai Anomalous Aortic Origin of a Coronary Artery (AAOCA). Pada Ahad, laman advokasi kesihatan, Public Health Malaysia turut menyorot kembali kisah 'The Pocket Rocketman' itu yang pernah berdepan pembedahan sebagai meraikan perjuangannya di Olimpik Paris. Rakyat Malaysia tetap bangga meskipun Azizul tidak membawa pulang sebarang pingat di Olimpik Paris. "Parut dada Azizulhasni. Mungkin tiada kalungan emas di leher Azizulhasni di Olimpik, tetapi ada sesuatu yang lebih mendalam dan abadi terpahat di dadanya, sebuah simbol keberanian yang akan menjadi saksi sepanjang hayatnya. "Parut ini bukan sekadar tanda fizikal, ia adalah lambang kepada kesakitan, ketabahan, dan dedikasi luar biasa yang Azizulhasni tunjukkan sepanjang kariernya," ciap Public Health Malaysia menerusi X. Laman advokasi kesihatan itu turut memperincikan tentang penyakit AAOCA yang dihidapi Azizulhasni. ARTIKEL BERKAITAN: “Saya dihimpit secara agresif dengan sengaja” - Azizulhasni "Beliau disahkan menghidap penyakit jantung yang jarang ditemui, AAOCA, di mana saluran darah jantungnya bersambung dengan cara yang tidak normal. Ini adalah satu keadaan yang serius. Satu ancaman yang boleh menghentikan detik-detik jantungnya, terutamanya semasa aktiviti fizikal yang intensif seperti perlumbaan basikal. "Dengan nyawa di hujung tanduk, beliau terpaksa menjalani pembedahan jantung terbuka, sebuah langkah yang penuh risiko tetapi perlu untuk memperbetulkan masalah ini. Alhamdulillah, pembedahan itu berjaya, dan Azizulhasni tidak pernah berpaling ke belakang. Azizulhasni pernah menjalani pembedahan jantung terbuka. "Beliau pulih, bangkit, dan kembali ke sukan yang menjadi cinta sejatinya. Tiada siapa, dengan sejarah perubatan yang serius dan parut pembedahan di dada, akan sanggup berjuang kembali di velodrome. Tetapi Azizulhasni berani melakukannya," ciap Public Health Malaysia lagi. Pada akhir perkongsian itu, Public Health Malaysia turut menzahirkan ucapan penghargaan atas semangat juang Azizulhasni dan turut mengajak rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan buatnya. "Parut ini mengingatkan kita bahawa perjalanan menuju kejayaan penuh dengan duri dan ranjau. Kadang-kadang, meskipun kita memberikan segala-galanya, kejayaan masih sukar dicapai kerana faktor-faktor luar yang di luar kawalan, seperti yang berlaku baru-baru ini. "Kini, lebih daripada sebelumnya, inilah masa untuk kita sebagai rakyat Malaysia berdiri teguh bersama dan menyokong wira-wira kita di saat mereka berdepan kesukaran. "Azizulhasni memberikan yang terbaik untuk negara kita, dan walaupun emas tidak menjadi miliknya, parut di dadanya memberi inspirasi kepada jutaan rakyat Malaysia," ujar laman itu lagi. Untuk rekod, jaguh berbasikal trek negara itu tersingkir dalam pusingan pertama acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024. Ini selepas beliau dibatalkan penyertaan gara-gara memotong terlalu awal sebelum derny keluar sepenuhnya daripada trek di Velodrom Nasional Perancis. Selepas perlumbaan penuh mengejutkan di Paris, Azizulhasni turut memberi bayangan untuk bersara dan meminta rakyat Malaysia menyokong pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta beberapa pelumba lain selepas ini. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube