PENGGUNA media sosial meluahkan rasa terkejut selepas tularnya berita tentang seorang lelaki yang ditangkap kerana makan daging kucing. Ketika disoal oleh polis, lelaki berusia 63 tahun dari Semarang, Indonesia itu mengaku sering makan daging kucing liar dengan alasan untuk menurunkan kadar gula dalam darah. "Kami menerima maklumat dia melakukan perbuatan ini untuk menurunkan kadar gula kerana menghidap diabetes," kata Ketua Polis Gunungpati, Kompol Agung Raharjo kepada wartawan. Berita ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan warga maya, malah ramai turut meluahkan rasa hairan sekiranya daging kucing benar-benar boleh membantu rawatan diabetes. Apa kata doktor? Menurut pengamal perubatan, Dr. Lutfie, memakan daging kucing untuk merawat diabetes adalah tidak benar dan merupakan satu penipuan semata-mata. Sehingga kini, belum ada kajian atau penyelidikan yang dapat membuktikan dakwaan ini. Pengambilan gula yang tak terkawal boleh menjadi punca diabetes. -Gambar hiasan "Sebenarnya, kita perlu bergantung kepada bukti yang kukuh daripada kajian atau penyelidikan yang sedia ada. "Setakat ini, ia hanya sekadar hoax kerana memang tiada bukti yang menyokongnya. "Secara teori, setakat ini belum ada bukti kuat yang menunjukkan kaitan antara memakan daging kucing dengan penyembuhan diabetes," jelasnya. Dr. Lutfie juga menekankan kemungkinan risiko bahaya yang timbul selepas memakan daging yang tidak biasa dimakan, seperti daging kucing. Ini kerana, daging haiwan yang biasa dimakan biasanya dipantau dari segi pemakanan dan tempat tinggalnya. Sebaliknya, bagi kucing, tempat tinggal dan apa yang dimakannya tidak dapat dipantau dengan baik. "Sering kali, terdapat juga penyakit-penyakit yang boleh ditularkan daripada kucing. "Terutama sekali, seperti toxoplasma atau beberapa jenis parasit dan jangkitan bakteria lain yang juga berisiko," jelas Dr. Lutfie. - Detik. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube