suria

Awas gerakan pedofilia dalam media sosial, makin terbuka tunjuk minat terlarang... Cuba semak 9 tanda-tanda pemangsa ‘child grooming’

Tangkap layar video yang tular di media sosial.

TINDAKAN seorang pemandu bas sekolah merakam video kanak-kanak terutama murid perempuan dan berkongsi di media sosial hingga tular mengundang kebimbangan orang ramai.

Apa yang menjadi pertikaian ialah kapsyen yang digunakan pemuda berkenaan kerana dianggap tidak bersesuaian untuk ditujukan kepada murid sekolah rendah.

Malah rata-rata pengguna media sosial turut mengaitkan perbuatan berkenaan dengan kesalahan pedofilia iaitu penyakit mental kronik yang menyebabkan penghidapnya berasa ghairah apabila melihat kanak-kanak atau gambar mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu bas sekolah rakam murid perempuan bikin panas, menteri arah buat laporan polis

Justeru penting untuk kita mengetahui dan mengenali individu dengan kecenderungan pedofilia atau child grooming bagi melindungi anak-anak dan mencegah kejadian yang tidak diinginkan.

Berikut adalah sembilan ciri atau tanda yang boleh membantu dalam mengenali individu yang mungkin mempunyai kecenderungan pedofilia seperti dikongsikan Hello Doktor:

1. Berpura-pura jadi orang lain, contohnya menipu usia mereka dalam talian.

2. Menawarkan nasihat atau persefahaman.

3. Membelikan hadiah.

4. Memberi perhatian kepada kanak-kanak tersebut.

5. Menyalahgunakan kedudukan profesional atau reputasi mereka.

6. Membawa kanak-kanak tersebut bercuti atau berjalan.

7. Hantar atau menyiarkan imej mereka yang terdedah.

8. Ambil bahagian dalam aktiviti seks melalui kamera atau telefon pintar.

9. Perbualan seksual melalui teks atau dalam talian.

Gangguan seksual terhadap kanak-kanak semakin berleluasa di negara ini. -Gambar hiasan

Semoga perkongsian ini dapat memberikan gambaran lebih jelas sekiranya anda mengesyaki bahawa seseorang yang disayangi mungkin mempunyai ciri-ciri pedofilia ataupun menjadi mangsa.

Dinasihatkan agar mangsa mendapatkan bantuan dengan segera untuk mengelakkan komplikasi yang teruk.

Bagi kes terbaharu membabitkan pemandu bas di Johor itu, lelaki berkenaan sudah ditahan polis pada pukul 2.57 pagi Jumat di kawasan Simpang Renggam, Kluang.

Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, lelaki berusia 24 tahun itu disiasat mengikut Seskyen 15 (a)(iii) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seskyen 15(2) Akta Kanak 2001.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk membuat laporan polis terhadap pemandu bas sekolah berkenaan.

Menurut Nancy, tindakan merakam foto atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa adalah melanggar hak dan privasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Lebih menjengkelkan apabila pemandu itu ada menggunakan kapsyen seperti 'hari ini crush kita buat homework' kerana dianggap tidak bersesuaian untuk ditujukan kepada murid sekolah rendah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain