BERJIMAT-cermat dalam kehidupan seharian merupakan amalan mulia yang perlu dipraktikkan oleh semua golongan tanpa mengira umur.
Begitulah juga pegangan seorang pensyarah, Iza Sharina Sallehuddin, 43, dalam mendidik tiga anaknya agar mereka sentiasa mengamalkan penjimatan tenaga di rumah.
Meskipun menetap di sebuah kediaman dua tingkat yang dilengkapi pendingin hawa serta perkakasan elektrik lain, wanita itu berkata bil utiliti rumahnya tidak pernah mencecah RM150 setiap bulan.
Dia yang senang disapa Iza mengakui sering menekankan soal penjimatan terhadap anak sulungnya yang berusia 15 tahun serta dua lagi anak kembar yang kini berumur 12 tahun.
"Pada hari biasa, anak-anak pergi ke sekolah. Jadi selepas waktu petang baru mereka ada di rumah. Pada hujung minggu atau cuti sekolah, barulah mereka ada di rumah seharian.
"Saya agak tegas bab penjimatan tenaga elektrik. Saya akan pastikan mereka tahu tanggung jawab masing-masing. Selain anak-anak, ibu saya juga tinggal bersama saya.
"Sesetengah orang kata bil mereka naik. Saya tengok bil saya tak naik, tak terlalu rendah tak terlalu tinggi. Secara kasar penggunaan sebulan bawah RM150," ujar Iza yang menetap di Semenyih, Selangor kepada mStar.
Hidupkan bila perlu
Bercerita lanjut tentang tip penjimatan yang diamalkan keluarganya, Iza berkata dia akan memastikan setiap suis atau plug akan ditutup apabila tidak digunakan.
Selain itu, Iza turut menghadkan tempoh penggunaan gajet anak-anaknya sebagai salah satu cara untuk mendisiplinkan mereka, sekali gus dapat menjimatkan penggunaan tenaga di rumah.
Iza bersama ibunya serta tiga cahaya mata kesayangan.
"Biasanya saya akan potong buah siap-siap, keluarkan makanan dan minuman untuk anak... Jadi mereka tak perlu kerap buka dan tutup pintu peti ais.
"Saya juga ingatkan mereka untuk tutup suis kalau dah habis tonton televisyen serta tutup suis kipas atau aircond jika mereka sudah tidak mahu berada di ruangan itu.
"Dari segi gajet pada hujung minggu, saya hadkan tak boleh guna lebih empat jam. Saya juga ingatkan mereka agar tidak gunakan telefon ketika sedang dicas," ujar Iza yang kini berkhidmat dengan sebuah universiti swasta di Selangor.
Cara didik anak-anak
Menurut Iza lagi, dia juga menggunakan pendekatan keibuan untuk memberi kesedaran kepada anak-anaknya tentang pembaziran tenaga atau wang ringgit.
"Saya ni bukanlah kreatif sangat. Tapi kalau saya nak anak buat sesuatu, saya kena tunjuk contoh pada mereka. Tunjuk contoh itu seawal usia mereka supaya mereka faham.
"Misalnya mereka lupa tutup kipas selepas keluar dari ruang tamu. Jadi saya akan nasihatkan baik-baik. Saya beritahu, kalau bil naik, nanti mummy yang kena bayar.
Anak-anak Iza dididik untuk sentiasa menghargai dan tidak mengamalkan pembaziran.
"Mungkin saya pun dibesarkan oleh ibu yang sentiasa terapkan tentang konsep berjimat-cermat, tak kisah kita mampu atau tak mampu, tapi kita kena hargai apa yang kita ada.
"Jadi kini saya ajar perkara sama untuk anak-anak pula," kata Iza sambil menambah dia bersyukur tip penjimatan yang dilakukan bersama keluarga membolehkannya berjimat daripada membayar bil utiliti tinggi.
Pendekatan mesra alam
Antara lain, Iza berkata dia menggunakan lampu LED di kediamannya sebagai salah satu pendekatan yang lebih mesra tenaga.
Iza dan ibunya turut menanam lebih kurang 20 jenis tumbuhan di sekitar rumah untuk mendapatkan sumber udara yang lebih segar serta panorama hijau yang mendamaikan mata.
Iza menggunakan pendekatan 'keibuan' untuk menanam rasa tanggungjawab dalam diri anak-anaknya.
"Kami juga ada tanam tumbuhan di dalam pasu. Antaranya pokok limau purut, orked, ulam-ulam dan tumbuhan herba. Semuanya diletakkan di perkarangan rumah untuk membolehkan pokok-pokok ini mendapat cahaya secukupnya.
"Kalau cuaca tak panas, saya juga akan biarkan tingkap dan pintu dibuka supaya kami boleh mendapatkan sumber udara semula jadi. Jadi, tidaklah kena bergantung 100 peratus kepada kipas sahaja," ujarnya.
Dari segi penggunaan pendingin hawa, Iza berkata dia juga mengamalkan langkah penjimatan kerana sedar peralatan elektrik itu boleh menjadi punca peningkatan bil elektrik.
"Kalau musim panas, biasanya saya hidupkan kipas di ruang tamu dan ruang makan yang terletak bersebelahan. Kalau cuaca agak sejuk, saya hidupkan salah satu sahaja. Ikut keadaan cuaca.
"Begitu juga dengan aircond. Kalau panas, saya akan hidupkan dalam sejam ke dua jam. Kalau dah sejuk, saya matikan aircond dan sambung guna kipas sahaja.
"Ada orang akan hidupkan aircond dulu sebelum masuk bilik untuk tidur. Macam saya, kalau saya tiada di ruangan itu, saya tak akan hidupkan aircond.
"Jadi, bila saya dah masuk bilik, baru saya hidupkan aircond. Saya akan tetapkan suhu sekitar 24 ke 25 darjah celcius,” katanya berkongsi rahsia penjimatan elektrik.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube