TELUR sering dianggap sebagai 'superfood' kerana padat kandungan nutrisi dan manfaat kesihatannya yang meluas, menjadikannya sukar diganti dengan diet lain. Di Malaysia, salah satu hidangan popular berasaskan telur yang menjadi kegemaran ramai adalah roti bakar telur goyang atau telur separuh masak. Telur separuh masak sering menjadi pilihan yang menarik, tetapi berisiko tinggi mengandungi bakteria Salmonella yang mengakibatkan keracunan makanan. Jangkitan bakteria ini boleh menyebabkan gejala seperti mual, muntah, demam, sakit kepala, sakit perut dan cirit-birit selama empat hingga tujuh hari. Malah jangkitan ini akan memberi kesan lebih lama serta serius terhadap golongan berisiko seperti wanita hamil, bayi, orang tua dan mereka dengan sistem imunisasi lemah. Bakteria Salmonella boleh menyebabkan pelbagai penyakit bahaya. Bukan itu sahaja, ibu hami juga cenderung untuk mengalami keguguran sekiranya makan telur separuh masak yang dicemari bakteria Salmonella. Untuk mengelakkan risiko, sebaiknya masak telur sehingga benar-benar matang. Jika anda ingin menggunakan telur setengah masak untuk masakan, pilihlah telur yang telah dipasteurkan. Selain itu, penyakit yang mungkin dialami akibat makan telur mengandungi Salmonella boleh dielakkan dengan menyimpannya di dalam peti sejuk, masak dengan betul dan pastikan kebersihan peralatan serta tangan. Memasak telur sehingga matang adalah cara yang lebih selamat untuk menghindari jangkitan Salmonella. Mengolah telur dengan merebusnya juga lebih disarankan berbanding menggoreng untuk menjaga kesihatan jantung dan mendapatkan nutrisi yang optimum. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube