suria

Tak salah nak kahwin baru, tapi si duda jangan buat-buat lupa nafkah anak... Ini senarai semak elak zalimi zuriat sendiri

Salah satu tanggungjawab nafkah bapa adalah menyediakan keperluan sekolah. -Gambar hiasan

SELAIN hak penjagaan anak, perkara yang menjadi pertikaian bagi setiap pasangan yang bercerai adalah nafkah.

Perlu diingat, tanggungjawab memberi nafkah terhadap anak tetap terletak di atas bahu seorang bapa dan tidak akan putus dengan sebab penceraian.

Jika kita telusuri perkongsian di media sosial sama ada luahan daripada golongan ibu tunggal mahupun pengalaman peguam syarie, sememangnya terlalu banyak kes seorang bapa culas memberi nafkah kepada anak kandung sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Beringat sebelum kena! Isteri perlu amalkan 5 SOP ini jika suami nak pinjam duit, peguam syarie ajar elak menyesal kemudian hari

Lebih memalukan, mereka bukan sahaja lepas tangan membiarkan isteri membesarkan anak seorang diri, malah tanpa rasa bersalah berkahwin baru lagak seperti orang bujang.

Terpanggil untuk menyentuh isu berkenaan, seorang peguam syarie, Fahmi Ramli tampil memberi peringatan mengenai nafkah anak yang wajib ditanggung oleh seorang duda.

1) Makan dan minum

Anggaran kasar adalah RM15 sehari (minimum) untuk tiga kali makan. Sepatutnya untuk seorang anak yang makan minumnya seperti biasa adalah RM450 seorang sebulan.

bapa 2

Bercerai tidak bermakna seorang duda melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa. -Gambar hiasan

2) Lampin pakai buang

Duda yang mempunyai anak kecil, jangan abaikan bab ini. Lampin pakai buang adalah satu keperluan yang tak boleh ditinggalkan. Harganya berbeza mengikur jenama dan saiz. Ambil tahu jumlah lampin pakai buang yang diperlukan anak.

3) Susu

Sama seperti lampin pakai buang, susu adalah keperluan wajib buat seorang bayi dan anak kecil. Ambil tahu jenis susu yang diperlukan anak kerana ada jenis susu yang mungkin tidak sesuai kerana alahan dan sebagainya.

4) Belanja sekolah

Bagi anak yang bersekolah, adalah satu kebiasaan untuk diberi duit belanja. Kadang duit ini mungkin boleh diambil daripada belanja bulanan.

5) Pakaian

Pakaian bukan hanya baju semata-mata tetapi keperluan lain seperti mandian dan sebagainya. Pakaian hari raya juga perlu disediakan asing setahun sekali, sekurang-kurangnya dua pasang untuk seorang anak.

bapa 3

Dalam kebanyakan kes, duda bersikap lepas tangan dan membiarkan tugas menjaga anak-anak di bahu bekas isteri. -Gambar hiasan

6) Yuran dan persediaan awal sekolah

Selain yuran, bapa wajib menyediakan pakaian serta kelengkapan sekolah sekurang-kurangnya dua pasang baju seragam bagi seorang anak.

7) Perubatan

Perubatan adalah tanggungjawab wajib bapa. Tak boleh serahkan kepada ibu untuk tanggung kos perubatan walaupun anak berada dengan si ibu. Sediakan kemudahan perubatan, contohnya seperti insurans, untuk anak sekiranya perlu.

Tambah Fahmi lagi, tiada larangan jika lelaki yang bercerai mahu membina perkahwinan kedua namun dia wajib mendahulukan perkara yang wajib terlebih dahulu.

"Tapi anda perlu ingat, tanggungjawab nafkah anak ini sangat penting. Zalim kalau bapa tak bagi nafkah yang cukup, tapi boleh pula kahwin lain.

"Nak kahwin juga boleh, cukupkan nafkah belanja seorang anak setiap bulan. Jangan kedekut. Kalau tak mampu bagi nafkah lebih, tak payah mimpi nak kahwin lain. Tambah dosa sahaja. Puasa kalau nak tahan nafsu," demikian ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain