suria

Rupanya diet ‘intermittent fasting’ bukan untuk kurus semata-mata... Doktor kata boleh tingkatkan fungsi otak

Intermittent fasting adalah strategi mengatur waktu makan untuk manfaat kesihatan. -Gambar hiasan

BAGI umat Islam puasa merupakan rutin tahunan untuk memenuhi rukun Islam ketiga, yang menjadi kewajipan asas bagi setiap Muslim.

Namun ada juga yang menggunakan kaedah puasa untuk mendapatkan manfaat kesihatan melalui amalan yang dikenali sebagai intermittent fasting (IF).

Ramai yang maklum bahawa puasa membawa pelbagai manfaat seperti memberikan rehat kepada sistem pencernaan, mengawal berat badan dan meningkatkan metabolisme.

Namun wujud pelbagai debat mengenai keberkesanan IF, dengan ada yang mengatakan ia tidak elok diamalkan, manakala ada sesetengah pula menyokong manfaatnya.

4 (4)

Makan berlebihan mempercepatkan penuaan dan meningkatkan risiko penyakit. -Gambar hiasan

Seorang pakar jantung, Dr Onn Akbar Ali, berkongsi pandangannya mengenai kesan positif intermittent fasting menerusi akaun TikToknya.

1. Perbezaan ketara pada badan dan muka

- Dapat mengurangkan pengambilan gula dan makanan yang berlebihan dalam badan.

- Perubahan ketara akan terlihat pada wajah dan tubuh.

- Apabila berpuasa, lemak dalam badan akan ditukar menjadi tenaga dan ketika badan kita kekurangan kalori, menyebabkan tubuh memecahkan trigliserida (lemak tersimpan). Asid lemak ini akan digunakan oleh otot dan tisu sebagai sumber tenaga.

- Proses ini bukan sahaja membantu menghasilkan tenaga tetapi juga menyumbang kepada pembakaran lemak dan penurunan berat badan, menjadikan penampilan kelihatan lebih awet muda.

Kabut otak sering terjadi apabila mengambil lebihan gula dan makanan berproses.

Kabut otak sering terjadi apabila mengambil lebihan gula dan makanan berproses. -Gambar hiasan.

2. Pemikiran dan otak lebih cerdas

- Meningkatkan fungsi otak dan daya ingatan.

- Meningkatkan kepekaan insulin dalam otak yang penting untuk pengaturan tenaga otak.

- Apabila otak lebih cekap menggunakan glukosa dan tenaga, ia boleh berfungsi dengan lebih baik, meningkatkan fokus, dan mengurangkan 'kabut otak'.

- Kajian juga menunjukkan bahawa amalan IF boleh melambatkan risiko demensia dan penyakit Alzheimer.

- Jika dilakukan secara konsisten, IF bukan sahaja membantu tubuh menjadi lebih sihat tetapi juga menjadikan otak lebih tajam dan cerdas.

IF secara konsisten dapat menjadikan badan lebih cergas.

IF secara konsisten dapat menjadikan badan lebih cergas. Gambar hiasan

3. Badan lebih cergas

- Membantu menstabilkan tahap gula dalam darah, sekali gus mengelakkan kenaikan gula yang boleh menyebabkan keradangan dan keletihan.

- Apabila gula dalam darah stabil, otot dan sendi tidak akan terdedah kepada tekanan oksidatif berlebihan.

- Mengurangkan tahap keradangan dalam badan. Semasa berpuasa, tahap insulin menurun, dan badan menghasilkan lebih banyak hormon seperti kortisol dan norepinefrin, yang membantu mengawal keradangan.

- Keradangan yang rendah dapat mengurangkan rasa sengal otot dan sendi, menjadikan badan lebih cergas.

Metod 16:8 adalah paling berkesan untuk hasil memuaskan.

Kaedah 16:8 adalah paling berkesan untuk hasil memuaskan. -Gambar hiasan

Cara-Cara melakukan Intermittent Fasting

Sementara itu, seorang pakar kesihatan dan estetik @DrSyai, berkongsi beberapa cara untuk memulakan intermittent fasting menerusi akaun TikToknya.

1. Puasa selama 16 jam dan makan dalam tempoh 8 jam (window period)

Pilih masa yang sesuai untuk makan dalam tempoh 8 jam, contohnya:

- 9 pagi hingga 5 petang

- 10 pagi hingga 6 petang

- 12 tengah hari hingga 8 malam

Dalam tempoh berpuasa, elakkan makanan dan minuman bergula. Anda masih boleh menikmati air kosong, teh, atau kopi tanpa gula.

2. Pemilihan makanan

- Dalam tempoh makan, pastikan anda mengamalkan pemakanan yang seimbang untuk hasil yang lebih baik dan berpanjangan.

- Elakkan makanan yang tidak sihat, makanan proses dan makanan yang tinggi gula.

3. Permulaan beransur-ansur

- Cuba lakukan selama 1 hingga 2 minggu dahulu.

- Tingkatkan secara perlahan dalam rutin harian jika badan anda dapat menyesuaikan diri.

Intermittent fasting bukan sahaja bermanfaat untuk kesihatan fizikal tetapi juga memberi kesan positif kepada fungsi otak dan kesejahteraan keseluruhan.

Dengan pendekatan yang betul dan pemilihan makanan yang sesuai, ia boleh menjadi amalan yang membantu meningkatkan kualiti hidup secara menyeluruh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain