BERCAKAP soal perkahwinan, perkara yang tidak dapat lari daripada dibincangkan adalah soal nafkah. Dalam Islam, suami mempunyai kewajipan untuk memberi nafkah kepada isterinya sebagai satu bentuk tanggungjawab seperti mana yang ditetapkan syariat. Kewajipan seorang suami memberi nafkah kepada isteri adalah dengan menyediakan perkara asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, perubatan dan barangan lain yang menjadi keperluan. ARTIKEL BERKAITAN: Jangan takut hingga mudaratkan diri... Peguam kongsi 6 langkah perlu diambil jika dipukul suami atau isteri Mungkin ada sesetengah pasangan yang mengamalkan konsep berkongsi melibatkan perbelanjaan dapur, komitmen, bil utiliti dan sebagainya. Tidak salah sekiranya setiap perbelanjaan tersebut adalah persetujuan yang dicapai sebulat suara antara suami dan isteri. Tapi bagaimana pula jika si isteri tidak rela hati apabila terpaksa berkongsi membayar separuh perbelanjaan bulanan atau komitmen tertentu? Dalam satu perkongsian di TikTok, seorang peguam syarie, Fatimah Majidah, menghuraikan panjang lebar mengenai isu tersebut. Isu nafkah boleh mengundang perselisihan faham antara suami isteri. -Gambar hiasan "Baru-baru ini seorang wanita bertanya... saya baru nikah seminggu, tiba-tiba suami panggil untuk duduk berbincang dan minta saya bayar rumah sewa separuh, dan beberapa komitmen lagi dibahagikan sebagai tugas masing-masing untuk urus dan bayar. Saya kena ikut ke permintaan suami tu?" tulisnya dalam perkongsian berkenaan. Menurut Fatimah, si isteri tidak perlu mengikut permintaan suaminya itu, memandangkan perbelanjaan berkenaan adalah termasuk dalam nafkah yang wajib ditanggung suami. "Jawapannya, tak perlu setuju kalau tak rela nak bayar kerana ia adalah kewajipan suami untuk sediakan bila dah berkahwin. "Kalau setuju nak bayar pun atas dasar puan (isteri) sudi nak bantu suami, bukan sebab tanggungjawab dan kena patuh," ulasnya. Fatimah dalam pada itu turut memberi nasihat kepada golongan lelaki agar bersedia memikul tanggungjawab apabila bakal bergelar suami kelak. "Para lelaki, apabila memilih untuk berkahwin, kena bersedia untuk tanggung sepenuhnya rumah, makan minum, pakaian dan perubatan isteri. "Tak boleh nak tetapkan suami tanggung ini, isteri tanggung itu. Nafkah isteri adalah tanggungjawab yang mesti dibuat, bukan pilihan," ulasnya lagi. Semoga pencerahan tersebut memberi kefahaman yang jelas kepada kita semua terutamanya buat pasangan yang bakal berumah tangga. Semoga bermanfaat! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube